Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang pertimbang untuk menjadikan Skim Pengeluaran Bayaran Bulanan sebagai mandatori bagi pencarum baharu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, skim ini bagaikan pencen bagi pekerja swasta di mana pencarum dapat menentukan jumlah pengeluaran setiap bulan daripada simpanan mereka.
“Mungkin ada peluang untuk KWSP menengok untuk ahli-ahli baru, mungkin ini satu cara yang kita boleh pertimbang sebagai skim baharu. Buat masa sekarang kita kata skim ini adalah satu skim sukarela namun mungkin ahli baharu, kita boleh tengok nak biar ia kekal sukarela atau wajib.” kata beliau di luar Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2023 di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau akui perkara ini memerlukan kajian mendalam serta perbincangan yang lebih lanjut dengan kerajaan.
Dalam pada itu, beliau menggesa pencarum untuk mengambil skim ini sejajar usaha untuk meningkatkan perlindungan sosial di Malaysia.
“Katalah seorang itu mempunyai RM300,000, buat masa sekarang dia baru pencen dan nak merasa sikit, dia boleh keluar RM50,000, tinggal RM250,000. Mungkin tiap-tiap bulan dia nak keluar RM1,000.Kemudian tahun depan dividen dah naik, mungkin dia boleh naikkan RM1100 sebulan. Itu terpulang kepada pencarum itu sendiri.” tambah beliau.
Jelas beliau, penanda aras yang digunakan pengurus dana persaraan itu bagi menentukan simpanan asas dicapai mengikut umur ialah RM240,000, yang menjadi paras sasaran apabila mencapai umur 55 tahun.
Jumlah paras simpanan asas itu akan diterjemahkan kepada pendapatan RM1,000 sebulan dalam tempoh 20 tahun persaraan.