comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

KWSP lulus langkah tutup Alpha REIT

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai pemegang unit tunggal Alpha Real Estate Investment Trust (Alpha REIT) telah mengambil keputusan menamatkan dan menutup REIT berlandaskan Syariah tidak disenaraikan itu.

Alpha REIT telah ditubuhkan sebagai REIT berlandaskan Syariah sudah dikeluarkan daripada penyenaraian pada 30 Jun 2017.

Proses penamatan dan penutupannya akan membabitkan pelupusan semua aset dan hartanah Alpha REIT mengikut surat ikatan amanah Alpha REIT dan garis panduan REIT Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Kami ingin mengumumkan bahawa pemegang unit tunggal Alpha REIT telah memutuskan untuk mendapatkan dan mengadakan mesyuarat pemegang unit yang telah diadakan pada 16 Disember 2022, yang mana resolusi khas untuk menamatkan dan menutup Alpha REIT telah diluluskan.

“Keputusan untuk menamatkan dan menutup Alpha REIT ini telah diambil oleh KWSP atas kehendaknya sendiri dan atas budi bicara mutlaknya,” kata Alpha REIT dalam satu kenyataan.

Pelan pelaksanaan untuk proses penutupan akan disediakan oleh penasihat yang dilantik, dengan berunding bersama pemegang amanah dan pengurus Alpha REIT, tertakluk kepada kelulusan KWSP.

Sejak penubuhannya pada 2017, Alpha REIT telah berjaya berkembang untuk menyampaikan jumlah pulangan pasaran peneraju dan hasil melebihi 6.0 peratus pada tahun kewangan 2021.

Lembaga pengarah dan pengurusan pengurus Alpha REIT sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan dalam mengurus dan mengembangkan portfolio.

Ia sekali gus membolehkan Alpha REIT berjaya mengatasi prestasi pasaran sambil mengurangkan tekanan dalam dua tahun lalu akibat pandemik COVID-19.

Dua daripada asetnya juga adalah pemenang Anugerah Hartanah Urus dan Mampan Terbaik Edge Prop Malaysia 2021.

Pihak Alpha REIT juga berbangga dapat menjalinkan hubungan kerja yang baik dengan semua pemegang taruh Alpha REIT sejak penubuhannya. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini