Oleh: Juliana Pija Ismail
KWASA DAMANSARA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berharap pendapatan pelaburan kumpulan itu akan bertambah kukuh pada suku seterusnya berikutan perkembangan dan kestabilan ekonomi global yang berterusan, terutamanya di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, isu seperti kenaikan kadar faedah yang mereda memberi peluang kepada dana pencen itu untuk menjana pulangan yang lebih baik pada suku akan datang berbanding suku pertama berakhir 31 Mac, 2023.
“Seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, KWSP perlu melabur 70 peratus dalam pelaburan domestik” katanya selepas Majlis Pelancaran Panduan dan Aplikasi Belanjawanku 2022/2023 di Menara KWSP.
“Tahun ini, kita memang akan melabur lebih kurang 70 peratus bagi peluang pelaburan di dalam Malaysia dan bakinya kita akan melabur di luar negara,”katanya.
Pendapatan pelaburan KWSP naik tiga peratus kepada RM15.16 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2023, daripada RM14.77 bilion yang dicatatkan dalam suku yang sama pada 2022.
Jumlah itu dicapai selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai yang direkodkan bagi suku dikaji.
Pendapatan daripada ekuiti meningkat kepada RM8.96 bilion, selepas mengambil kira turun nilai kos, berbanding RM8.75 bilion yang dicatatkan pada suku pertama 2022.