comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

KWSP dijangka beri dividen setinggi 6.5 peratus

Foto : NSTP

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan kadar dividen pada kadar 5.5 peratus hingga 6.5 peratus, kadar yang lebih baik berbanding 5.35 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus untuk Simpanan Syariah bagi 2022.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata jangkaan positif dalam pengagihan kadar dividen lebih baik 2023 adalah berdasarkan prestasi suku tahun semasa KWSP.

“KWSP memiliki skala ekonomi yang lebih mampan dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM1.1 trilion. Justeru, dana persaraan nasional ini mempunyai kelebihan dari segi pilihan pelaburan mahupun proses rundingan dengan pengurus dana luar.

“Namun. disebabkan saiz dana pelaburan yang besar, KWSP perlu bekerja lebih keras untuk mendapat pulangan tinggi dari sudut ringgit, walaupun peratusan yang kecil. Misalnya, untuk setiap satu peratus dividen, KWSP dengan aset RM1.1 trilion perlu membayar RM11 bilion dan ini cukup mencabar dalam situasi ekonomi semasa.

“KWSP dijangka memberikan pulangan dividen lebih baik dengan unjuran untuk 2023 adalah antara 5.5 hingga 6.5 peratus,” katanya kepada BH.

Aimi Zulhazmi berkata, selain laporan prestasi KWSP yang baik untuk setiap suku tahun 2023, ekonomi Malaysia juga terus berkembang tahun lalu.

“Tambahan lagi, pergerakan pengurusan kanan KWSP berpindah dengan memegang portfolio yang lebih besar di Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri pada akhir tahun lalu juga memberikan petunjuk kecemerlangan pengurusan KWSP yang menarik perhatian pucuk pimpinan negara,” katanya.

Beliau menambah, antara cabaran besar KWSP adalah mengimbangi pelaburan dalam dan luar negara, terutama dalam menyokong syarikat tempatan dari aspek pelaburan modal dalam mengembangkan keuntungan dan memakmurkan negara.

“Indeks komposit Bursa Malaysia tidak menunjukkan peningkatan ketara. Indeks pernah melebihi 1,500 mata pada Januari 2022, namun untuk keseluruhan 2023, ia hanya berlegar pada aras 1,400 ke 1,450 mata.

“Ini disebabkan oleh faktor pasaran modal dunia yang terarah kepada Amerika Syarikat (AS) berikutan Rizab Persekutuan (Fed) yang terus menaikkan kadar faedah pada 2023,

“Justeru, ia mempengaruhi pengurus dana asing, terutama untuk mengubah portfolio pelaburannya dari Bursa Malaysia ke negara AS,” katanya.

Loading...
Terkini