Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) memperkenalkan Dana Perintis bernilai 500 juta ringgit untuk menyokong ekosistem modal teroka atau V-C Malaysia.
Dalam tempoh 18 hingga 24 bulan akan datang, dana ini akan mengambil inisiatif permerkasaan syarikat pemula untuk memacu inovasi dan menyokong daya tahan ekonomi.
Ketua Pegawai Pelaburan KWAP, Hazman Hilmi Sallahuddin berkata, dana perintis ini juga berdasarkan dua kategori strategik, iaitu pelaburan menerusi dana modal terok sehingga RM250 juta dan RM250juta dana yang akan dilabur dalam syarikat yang berada di tahap permulaan.
“Kami menyasarkan RM25 juta hingga RM50 juta untuk satu pelaburan dan ia bergantung kepada saiz dana. Justeru dari segi bilangan dana adalah lima hingga 10 dana,”
” Bagi strategi kedua pula kerana ia adalah pelaburan terus ke dalam syarikat yang menggunakan dana persaraan KWAP, ia memerlukan kami menguruskan risiko, kami hanya lakukan siri B dan selanjutnya. Ia bergantung kepada saiz syarikat yang mana kami akan labur antara RM10 juta hingga RM25juta. Justeru, sebanyak 10 hingga 20 syarikat akan menerima manfaat pelaburan demikian.” katanya selepas majlis perasmian Dana Perintis di sini hari ini.
Pusingan raih dana Siri B adalah mengenai mengambil perniagaan ke peringkat seterusnya ke tahap pembangunan. Di sini, pelabur VC akan membantu para penggiat permulaan untuk mengembangkan jangkauan pasaran.
Menerusi Dana Perintis ini juga, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan sasar tarik lebih ramai syarikat modal teroka (VC) global ke Malaysia bagi merancakkan ekosistem syarikat pemula dalam negara.
“Saya gembira KWAP telah ambil langkah ini kerana ia memberi kelebihan bagi kerajaan apabila berunding dengan dana kekayaan berdaulat negara lain untuk pertimbang labur di Malaysia. Apabila kami bercakap dengan VC global untuk ke Malaysia, mereka seringkali akan mempersoal bahawa meskipun mereka suka pelan kami namun jangan harap untuk kami salur dana, jika syarikat Malaysia tidak salur dana dalam syarikat pemula tempatan mereka sendiri.Itu adalah cara bagaimana dunia VC beroperasi.” kata beliau selepas merasmikan Dana Perintis di ibu kota siang tadi.
KWAP sudah mengenalpasti beberapa syarikat pemula berpotensi untuk dilabur, yang menggajikan kira-kira 1,000 rakyat ,alaysia daripada pelbagai latar belakang.