Tumpuan :
Detik Niaga

Kumpulan PMINT sasar perolehan RM100 juta tahun ini

KUALA TERENGGANU: Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang memiliki sembilan anak syarikat menyasarkan perolehan kira-kira RM100 juta tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Wan Adnan Wan Derahman berkata sasaran itu lebih tinggi berbanding jumlah perolehan tahun lepas iaitu lebih RM60 juta, yang sebahagian besarnya disumbangkan  anak syarikatnya PB Hotel Management Sdn Bhd.

Beliau berkata untuk mencapai sasaran ditetapkan, pihaknya telah menjalankan penyusunan semula dari segi operasi dan strategi bagi meningkatkan lagi keuntungan beberapa anak syarikat berpotensi termasuk P-Excell Management Sdn Bhd, Pertima Terengganu Sdn Bhd dan TTI Management Sdn Bhd.

“Dengan penyusunan semula beberapa strategi dan operasi, beberapa syarikat yang memang telah untung kita akan pertingkatkan lagi bagi menjana lebih pendapatan kepada kumpulan tahun ini.

“Sebagai contoh, pemilihan TTI Management sebagai hab pelancong ke Pulau Redang akan memberi impak besar dari segi keuntungan kerana sebelum ini syarikat terpaksa bergelut dengan kos operasi yang cukup tinggi,” katanya selepas majlis makan malam Kumpulan PMINT 2022 di sini malam tadi.

Wan Adnan berkata untuk tahun ini juga, Kumpulan PMINT melalui P-Excell Management merancang untuk membangunkan lebih banyak kawasan perumahan komersial untuk terus kekal sebagai peneraju sektor hartanah Terengganu.

Beliau berkata antara projek berpotensi besar adalah Bandar Baharu Kertih yang dijangka melibatkan pembangunan kira-kira 500 unit rumah bertingkat.

“Kawasan Kertih mempunyai potensi cukup besar kerana kita boleh ’bersekutu’ dengan kawasan industri minyak dan gas yang telah maju di situ seperti juga di Teluk Kalong, Kemaman.

“Tetapi sekarang ini kita lihat tidak ada satu bandar satelit yang menyokong perkembangan residensi di situ. Ini peluang untuk syarikat kami menerajui sektor perumahan dan pembangunan hartanah dengan berjaya di situ,” katanya.

Beliau berkata sektor hartanah dan perumahan syarikat dijangka memberikan pulangan sebanyak 40 peratus kepada syarikat pada tahun ini. – BERNAMA

Loading...
Terkini