Tumpuan :
Detik Niaga

KSK land tamat kontrak dengan kontraktor utama 8 Conlay 

KUALA LUMPUR: KSK Land Sdn Bhd telah menamatkan kontrak dengan Grand Dynamic Builders Sdn Bhd (GDBSB), anak syarikat milik penuh GDB Holdings Bhd, sebagai kontraktor utama bagi pembangunan 8 Conlay.

Dalam satu kenyataan hari ini, KSK Land berkata keputusan menamatkan kontrak antara anak syarikat milik penuhnya, Damai City Sdn Bhd dan GDBSB itu dibuat berikutan kegagalan mencapai penyelesaian yang dipersetujui dalam pelbagai pertikaian berkaitan urusan tapak pembinaan sejak sembilan bulan lepas.

Pertikaian itu membabitkan skop kerja, program pembinaan dan bayaran ansuran kewangan berikutan pandemik COVID-19.

Sepanjang proses perbincangan berlangsung, terdapat juga peningkatan jumlah syarat yang dikenakan oleh GDBSB, yang kemudiannya, memuncak dalam beberapa siri tuntutan yang disampaikan pada 4 April 2023.

“Dalam komunikasi itu, GDBSB meminta Damai City untuk mengubahsuai semua sub-kontraktor yang dinamakan (NSC) sedia ada dalam tempoh dua minggu, serta mengambil semua liabiliti dan tanggungjawab selepas itu termasuk untuk apa-apa perkara yang berbangkit sebelum penentuan NSC.

“GDBSB juga meminta supaya dikeluarkan daripada kerja-kerja pembina utama, dan bagi Damai City untuk membayar kerugian keuntungan yang timbul daripada itu,” kata KSK Land.

Ketetapan ini amat berat sebelah serta tidak munasabah di pihak GDBSB sebagai kontraktor utama 8 Conlay, dan walaupun wujud usaha terbaik untuk mencari penyelesaian yang berdaya maju bagi setiap perkara, adalah mustahil untuk KSK Land dan Bandar Damai bagi menampung atau memenuhinya.

Sejak itu, KSK Land telah berbincang dengan kontraktor utama baharu yang berpotensi, termasuk Conlay Construction Sdn Bhd yang telah secara rasmi mengemukakan tawaran kepada Damai City.

“Maklumat lanjut akan diumumkan tidak lama lagi,” tambah KSK Land. — BERNAMA

Loading...
Terkini