comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

KPK kukuhkan hubungan dengan pemain industri, Johari kekal Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB

Menteri KPK, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kanan) mengimbas kad perakam waktu bersama Timbalannya Datuk Chan Foong Chin (dua dari kiri), di lobi kementerian sebagai simbolik memulakan tugas secara rasmi, hari ini. -FOTO: NSTP

Oleh: Afrina Romzi

PUTRAJAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan terus mengukuhkan hubungannya dengan pemain industri menerusi pertemuan yang lebih kerap untuk memahami isu yang dihadapi, serta dasar yang boleh memberi perkembangan pantas.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut mengakui KPK adalah kementerian yang mencabar terutama dalam keadaan ekonomi hari ini, dan komoditi merupakan salah satu sumber pendapatan negara yang melibatkan lima komoditi iaitu minyak sawit, getah, koko, lada dan perkayuan.

“Kementerian ini sebenarnya lebih melibatkan pengusaha-pengusaha dan syarikat sama ada kecil dan sederhana atau syarikat besar. Kita ni sebenarnya pemudah cara. Kita bukan kementerian penjanaan pendapatan. Kita pemudah cara tetapi mereka yang terlibat secara langsung dalam industri ini,” katanya apabila ditemui pemberita selepas selepas mengimbas kad perakam waktu pada hari pertama sebagai menteri.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPK, Datuk Chan Foong Chin di lobi Kementerian Perladangan dan Komoditi untuk memulakan tugas secara rasmi.

Menurut Johari, apabila syarikat berjaya, kerajaan akan turut mendapat keuntungan dari segi cukai, peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Jadi jika kita tengok dari segi konsep sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dari segi kasarnya, (sektor perladangan dan komoditi) menyumbang hampir lima peratus daripada KDNK,” jelas beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa turut menyifatkan kementerian yang baharu diterajuinya dan bekas Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof itu telah melaksanakan kerja yang cukup baik dan boleh dinilai daripada laman sesawang kementerian yang komprehensif.

Menyentuh mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Datuk Seri Johari menegaskan beliau masih kekal sebagai Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB.

“1MDB kami telah melaksanakan kerja, cuma sekarang ini perlu memantau perkembangan sahaja. Ini kerana terdapat timbang tara dengan Goldman Sachs. Ada pertikaian seperti kita semua tahu, mereka tidak memenuhi perjanjian penyelesaian yang telah ditandatangani pada 2020,” katanya.

Pada Julai 2020, Kumpulan Goldman Sachs bersetuju untuk membayar AS$3.9 bilion untuk menyelesaikan siasatan jenayah Malaysia berhubung peranannya dalam skandal itu.

Malangnya, sehingga kini, mereka masih gagal membuat bayaran pertama sebanyak AS$250 juta selepas empat kali penangguhan.

“Alasan mereka tidak mahu membayar bahawa setiap penyelesaian yang dibuat dengan Ambank dan International Petroleum Investment Company (IPIC), merupakan salah satu daripada pemulihan (aset) yang kita buat. Sebenarnya itu tidak termasuk dalam konsep pemulihan. Pemulihan ialah kita cari benda (aset-aset) yang telah hilang melalui 1MDB. Tetapi yang kita dapat dari Ambank dan IPIC ini lebih kepada bentuk penyelesaian, bukan pemulihan,” jelas beliau.

Loading...
Terkini