comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kos hidup tinggi, warga kota wajar terima lebih subsidi?

FOTO: NSTP

Oleh: Faiz Aizat Azali

KUALA LUMPUR: Pemberian subsidi berasaskan pendapatan boleh belanja isi rumah, tanpa pengkelasan B40, M40 dan T20 dilihat kaedah yang lebih tepat dalam memastikan tiada “exclusion error” atau kesalahan perkiraan dalam sistem subsidi negara.

Bagaimanapun, adakah cukup sekadar melihat hanya pada pendapatan boleh guna dan tanggungan semata-mata atau wajarkah lokasi tempat tinggal turut dipertimbang sebagaimana yang dikongsi dalam dokumen Belanjawanku 2023 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Belanjawanku menyenaraikan kos sara hidup rakyat daripada peringkat, bandar dan negeri berbeza.

Misalnya kos sara hidup bagi bujang yang memiliki kereta di Lembah Klang adalah sekitar RM2,600 manakala individu sama di Alor Setar adalah RM2,060 dengan perbezaan lebih RM500.

Itu belum mengambil kira lokaliti di kawasan luar bandar atau pedalaman.

Menurut Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pengkelasan rakyat mengikut pendapatan boleh guna dan lokaliti lebih mencerminkan corak perbelanjaan rakyat di kawasan tertentu, sekaligus bantuan subsidi boleh disalurkan dengan lebih bersasar.

Nada sama disampaikan Pensyarah Ekonomi, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Irwan Shah Zainal Abidin yang berkata kayu pengukur lain turut perlu diteliti kerajaan terutama dalam membangunkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

“Namun begitu, kayu pengukur berpandukan kedudukan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah sahaja tidak mencukupi. Kayu pengukur lain, seperti demografi, jumlah isi rumah, lokasi, juga perlu diambil kira.”

“Misalnya, adakah betul mereka yang duduk diluar bandar kos kehidupannya lebih murah daripada di kawasan bandar?” katanya kepada Buletin TV3.

Selain itu, kerajaan perlu pastikan impak negatif daripada penarikan subsidi secara “blanket” dapat diminimumkan.

Mei lalu, kerajaan mengumumkan akan mula melaksanakan peralihan dasar sosioekonomi daripada pendekatan berasaskan pendapatan B40, M40 dan T20 kepada berasaskan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah, bermula Januari 2024.

Loading...
Terkini