comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Konflik geopolitik, lonjakan harga minyak cetus risiko ke atas Asia Pasifik

KUALA LUMPUR: Impak kenaikan harga minyak terhadap negara-negara Asia Pasifik dan global akan berlaku sekiranya ketegangan konflik di Asia Barat pada masa ini tidak reda dalam masa terdekat, kata Moody’s Analytics.

Dalam ulasannya hari ini, firma itu menyifatkan peningkatan ketegangan geopolitik itu sebagai mencetuskan ancaman besar terhadap ekonomi Asia Pasifik dengan risiko utamanya daripada lonjakan harga minyak.

Pada 12 April, 2024, menjelang serangan Iran ke atas Israel, minyak mentah West Texas Intermediate diniagakan pada AS$85 hingga AS$90 setong dan daripada jumlah itu, dianggarkan AS$5 merupakan premium risiko susulan jangkaan serangan berkenaan.

“Memandangkan serangan itu telahpun dilancarkan, kami menjangkakan harga minyak akan menokok AS$5 setong lagi terhadap premium risiko itu dan melonjakkan harga minyak kepada lingkungan AS$90 hingga AS$95 setong.

“Terdapat dua kemungkinan di sini dengan yang paling ketara adalah tindak balas terancang serta bertahan dari Israel yang meredakan ketegangan, seiring dengan tekanan daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden serta komuniti global secara meluas.

“Ini akan menyaksikan premium risiko AS$10 setong itu akan lenyap dalam tempoh beberapa minggu akan datang. Kedua, risiko lebih menjejaskan adalah konflik yang berleluasa apabila Israel bertindak balas dan jika itu berlaku, harga minyak boleh melonjak kepada lebih daripada AS$100 setong,” katanya.

Malah, Moody’s Analytics berkata harga minyak yang melambung tinggi juga berisiko untuk menjejaskan kemajuan rantau Asia Pasifik dalam menangani inflasi.

Sejajar dengan kedudukan kebanyakan ekonomi Asia Pasifik sebagai pengimport bersih minyak, perkembangan ini boleh menyebabkan negara-negara itu terdedah kepada lonjakan minyak global dengan kesan yang berbeza di seluruh negara berkenaan.

Namun, kata Moody’s Analytics, secara amnya wujud tiga cabaran utama akibat kenaikan harga minyak -harga lebih tinggi akan meningkatkan inflasi menerusi peningkatan kos tenaga dan bahan api serta menambah kos pengeluaran dan kos pengangkutan secara menyeluruh, sekali gus menaikkan harga semuanya keperluan termasuk makanan.

“Risiko peningkatan kos makanan menerusi kos baja, pengangkutan dan benih amat membimbangkan kerana di kebanyakan Asia, inflasi harga makanan yang tinggi menyebabkan indeks harga pengguna secara ketara dan sukar susut ke paras yang disasarkan oleh bank-bank pusat.

“Pada masa sama, harga minyak yang lebih tinggi juga berpotensi meningkatkan jangkaan inflasi dan menyukarkan lagi usaha pihak bank pusat. Kesemua ini berpotensi mengekang prospek pengurangan kadar faedah, terutamanya jika pihak Rizab Persekutuan (Fed) AS menangguhkan langkah melonggarkan monetari.

“Bergantung sejauh mana harga minyak itu dapat bertahan, ini boleh membawa kepada kenaikan kadar faedah,” katanya.

Moody’s Analytics berkata sebarang kenaikan harga minyak adalah buruk bagi ekonomi-ekonomi Asia Pasifik, khususnya dengan senario disinflasi, proses mengurangkan atau berlakunya pengurangan kadar inflasi tinggi yang terbukti telah terbantut di beberapa negara.

“Harga makanan dan tenaga yang lebih tinggi serta beberapa inisiatif kerajaan, masih memberi tekanan ke atas harga di Indonesia, Korea Selatan, Singapura, Vietnam dan Malaysia.

“Sebarang kejutan harga minyak akan memburukkan lagi cabaran ini dengan impaknya sehingga beberapa kali ganda. (Negara) pengeksport bersih minyak rantau ini juga tidak semestinya menjadi pemenang bersih.

Walaupun Malaysia dan Brunei boleh memperoleh pendapatan tinggi apabila harga minyak meningkat, kebanyakannya akan dijejaskan oleh permintaan global yang lebih lemah apabila inflasi kembali ketara di seluruh dunia dan menyebabkan isi rumah terjejas,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini