comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam bakal ditutup

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Anak syarikat tidak langsung Atlan Holdings Bhd, Cergasjaya Sdn Bhd dan Cergasjaya Properties Sdn Bhd (CPPA) menerima notis bagi pengambilalihan wajib tanah mereka di Bukit Kayu Hitam, Kedah, untuk projek pembinaan jalan.

Atlan memegang Cergasjaya dan CPPA melalui anak syarikat 75.53 peratus dimilikinya, Duty Free International Ltd (DFI), yang disenaraikan di Bursa Singapura.

Dalam makluman kepada pengawal selia Bursa Singapura hari ini, DFI berkata tanah itu diambil alih oleh Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan ditadbir oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Kedah.

“Pengambilan wajib tanah diperlukan untuk projek pembinaan jalan bagi menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam ke kemudahan CIQ Sadao di Thailand,” kata syarikat itu.

Cergasjaya memiliki Kompleks Bebas Cukai di Bukit Kayu Hitam, manakala CPPA memegang pajakan untuk tiga bidang tanah daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

DFI menambah bahawa pengambilan tanah wajib akan membawa kepada penutupan perniagaan bebas cukai Cergasjaya.

Sehingga akhir Februari, Cergasjaya menyumbang kira-kira 24 peratus kepada pendapatan syarikat.

Proses penilaian tanah untuk menentukan pampasan masih berjalan dan DFI bekerjasama dengan penasihat undang-undang untuk memastikan pampasan yang adil.

Kesan kewangan akan diumumkan setelah proses itu selesai, kata DFI.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini