KUALA LUMPUR: Maybank memperkenalkan ciri ‘Kill Switch’ melalui web Maybank2u (M2U) dan aplikasi MAE pada 28 Januari 2023 bagi meningkatkan keselamatan perbankan secara dalam talian.
Ciri itu juga bagi memerangi penipuan dalam talian dengan membenarkan pelanggan menyahaktifkan akses M2U mereka dengan segera hanya dengan satu klik mudah sekiranya mereka merasakan sesuatu yang pelik atau percaya bahawa mereka sudah ditipu.
Ia juga dilakukan melalui penambahbaikan ciri keselamatan sedia ada dalam M2U, yang mana bank secara berperingkat melancarkan lebih banyak langkah yang boleh membantu pelanggan meminimumkan kerugian mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong, berkata selaras dengan teras strategik M25+ untuk mempergiatkan tumpuan pelanggan serta mempercepatkan pendigitalan dan pemodenan teknologi, pihaknya sentiasa komited untuk memastikan keselamatan pelanggan perbankan dalam talian dan ia terbukti dengan peningkatan serta panambahbaikan yang kerap kepada sistemnya.
“Dengan pengenalan ciri ‘Kill Switch’, pelanggan kini boleh mengambil alih dan melindungi dana mereka secara proaktif daripada sebarang kejadian yang tidak diingini serta mengurangkan jumlah kerugian sebelum siasatan oleh bank dan pihak berkuasa yang berkaitan selesai,” katanya dalam satu kenyataan.
‘Kill Switch’ boleh diaktifkan melalui web Maybank2u atau aplikasi MAE dan setelah diaktifkan, pelanggan akan didaftar keluar secara automatik daripada semua sesi dalam talian yang aktif pada aplikasi MAE serta aplikasi dan web M2U.
Atas faktor keselamatan, dalam tempoh penyahaktifan, pelanggan tidak akan dapat daftar masuk ke M2U dan pengaktifan semula hanya boleh dilakukan selepas pengesahan yang berjaya melalui cawangan atau Khidmat Pelanggan Kumpulan Maybank.
Ia juga akan menghalang ‘scammer’ atau mana-mana pihak yang tidak dibenarkan daripada mengakses M2U atau aplikasi MAE menyebabkan aliran keluar dana selanjutnya.
Pelanggan masih boleh mengeluarkan wang tunai daripada ATM dan membuat pembelian menggunakan kad debit atau kredit Maybank mereka.
Bagaimanapun, pengeluaran tunai tanpa kad dan tanpa sentuh tidak akan dibenarkan pada masa ini kerana ia memerlukan pelanggan untuk daftar masuk ke Maybank2u.
Chong berkata, memandangkan bilangan penipuan dalam talian dilihat makin meningkat, perlu diakui bahawa pencegahan penipuan adalah tanggungjawab semua pihak.
Beliau berkata, bank hanya boleh berusaha untuk memperkenalkan pelbagai langkah keselamatan lanjutan untuk mencegah dan mengurangkan penipuan dalam talian, namun terpulang kepada pengguna untuk memainkan peranan mereka dalam melindungi diri mereka secara berterusan dengan memastikan butiran perbankan peribadi mereka disimpan selamat dan tidak pernah dikongsi kepada pihak ketiga, sama ada secara sedar atau tidak.
“Amalan terbaik mudah seperti mengingatkan dan mendidik ahli keluarga dan rakan taulan mengenai kepentingan berwaspada, untuk tidak menekan mana-mana pautan yang tidak diketahui atau asing akan sangat membantu.
“Akhir sekali, jika sesuatu kelihatan terlalu baik dan tidak munasabah, maka kemungkinan besar ia adalah satu penipuan,” katanya. – BHONLINE