Tumpuan :
Detik Niaga

‘Khazanah tak jual aset Iskandar Malaysia Studios’

Iskandar Malaysia Studios

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) tidak pernah menjual aset kompleks produksi filem dan televisyen, Iskandar Malaysia Studios sebaliknya hanya menjual saham dalam syarikat pengendali operasi studio terbabit.

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong, berkata studio berkeluasan 19.8 hektar (49 ekar) di Iskandar Puteri, Johor itu masih dimiliki Khazanah melalui melalui anak syarikat bertujuan khas (SPV), Tanjung Bidara Ventures Sdn Bhd.

Beliau berkata, Khazanah mengambil keputusan untuk menjual saham dalam syarikat pengendali operasi studio iaitu Iskandar Malaysia Studios Sdn Bhd (IMS) untuk mencari rakan kongsi baharu yang dapat mengendalikan operasi studio berkenaan dengan lebih baik.

“IMS menghadapi cabaran dari segi kemampanan kewangan dan ia diburukkan lagi dengan kesan kepada industri perfileman akibat pandemik COVID-19.

“Sekiranya Khazanah kekal sebagai pemegang saham IMS, Khazanah harus terus menyalurkan sokongan kewangan kepada IMS dengan anggaran kerugian sehingga RM14 juta setiap tahun,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang meminta penjelasan mengenai rasional penjualan studio berkenaan.

Susulan penjualan pemilikan dalam syarikat pengendali studio itu, Chee Keong berkata Khazanah telah memilih Studio Management Services Sdn Bhd (Studio Management Services) sebagai rakan kongsi baharu selepas melalui proses ‘Request for Proposal’ (RFP).

Studio Management Services adalah sebuah konsortium yang dipimpin oleh pasukan pengurusan tempatan IMS dan rakan kongsi serantau, GHY Culture & Media Holding Co. Limited dan anak syarikatnya, GHY Culture & Media (Malaysia) Sdn Bhd (GHY) yang merupakan sebuah syarikat kumpulan media yang terkemuka dalam industri hiburan Asia dan tersenarai di Bursa Saham Singapura.

Loading...
Terkini