comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Khazanah jual seluruh pegangan dalam IMS, beri manfaat ekonomi kepada Malaysia

KUALA LUMPUR: Syarikat tujuan khas milik penuh Khazanah Nasional Bhd, Granatum Ventures Sdn Bhd, telah memeterai perjanjian penjualan saham definitif untuk menjual keseluruhan 100 peratus pegangannya dalam Iskandar Malaysia Studios Sdn Bhd (IMS) kepada Studio Management Services Sdn Bhd (SMS) untuk menarik pelaburan asing serta membawa manfaat ekonomi dan sosial kepada Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, katanya SMS adalah konsortium yang diketuai oleh pasukan pengurusan semasa Malaysia IMS dengan kerjasama GHY Culture & Media Holding Co Ltd, Singapura dan anak syarikatnya GHY Culture & Media (Malaysia) Sdn Bhd.

Khazanah berkata penjualan itu adalah bagi 100 peratus pegangan dalam syarikat operasi, IMS yang memajak tanah menempatkan premis studio itu daripada Tanjung Bidara Ventures Sdn Bhd iaitu syarikat tujuan khas milik penuh Khazanah.

Menurut Khazanah, SMS dijangka meningkatkan lagi perkhidmatan yang disediakan oleh IMS kepada industri serta memudahkan kerjasama pada masa depan dan peluang penerbitan untuk Malaysia.

“Kerjasama dan kemasukan banyak usahawan Malaysia dan rakan kongsi serantau yang berkebolehan akan memangkin pertumbuhan dan pembangunan ekosistem di IMS,” katanya.

Khazanah berkata kerjasama ini akan menyumbang kepada penggunaan studio yang lebih tinggi dalam kalangan penggiat serantau dan global, sekali gus dapat menyokong ekosistem penerbitan tempatan dengan kapasiti lebih baik bagi menarik banyak penerbitan dan perkongsian saluran penerbitan kandungan.

“Khazanah kekal komited untuk mengekalkan manfaat limpahan ekonomi yang positif kepada ekonomi sosial di samping menyelaraskan kepentingan strategiknya untuk memajukan Malaysia, memastikan penciptaan nilai, pembinaan kapasiti dan impak kemasyarakatan kepada negara,” katanya. — BERNAMA

Loading...
Terkini