KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Hibiscus Petroleum Bhd melonjak lebih daripada tiga kali ganda kepada RM135.26 juta bagi suku pertama berakhir 30 Sept, 2022 (Suku Pertama 2023) daripada RM41.52 juta setahun lalu, dipacu terutamanya harga tinggi minyak, kondensat dan gas.
Hasil juga meningkat kepada RM604.77 juta dalam suku tersebut daripada RM246.69 juta sebelumnya, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Kumpulan eksplorasi dan pengeluaran minyak dan gas berkata operasinya menjual satu juta tong minyak dan kondensat dan lebih 510,000 tong minyak bersamaan gas pada Suku Pertama 2023.
“Jualan minyak dan kondensat menyumbang RM502.1 juta kepada jumlah hasil manakala sumbangan daripada jualan gas adalah RM101.5 juta.
“Harga minyak dan gas yang agak kukuh memberi sumbangan positif kepada keuntungan dalam semua aset pengeluaran kumpulan di Malaysia dan United Kingdom (UK),” katanya dalam satu kenyataan.
Mengenai prospek masa depan, Hibiscus Petroleum berkata kumpulan berada di kedudukan kukuh untuk memanfaatkan rekod prestasinya yang cemerlang dalam aset pengeluarannya di kedua-dua negara.
Kumpulan itu berkata ia kekal menyasar menjual kira-kira 7.2 juta hingga 7.5 juta tong minyak, kondensat dan gas bagi tahun kewangan berakhir 31 Jun, 2023.
Sementara itu, Pengarah Urusannya Dr Kenneth Pereira berkata kumpulan itu percaya trend makro semasa dapat menyokong harga tenaga yang tinggi dan prestasi kukuh Dolar AS dijangka berterusan. – BERNAMA