Oleh : Suzila Idayu Yaacob
KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Malayan Banking Bhd (Maybank) bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2023, meningkat 26 peratus kepada RM4.60 bilion, berbanding RM3.67 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Hasil juga meningkat kepada RM31.32 bilion daripada RM21.36 bilion sebelumnya.
Manakala, pendapatan operasi bersih turuti meningkat sebanyak 8.6 peratus kepada RM13.63 bilion, didorong peningkatan 61 peratus dalam pendapatan bukan faedah.
Bersandarkan keputusan itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Khairussaleh Ramli berkata pihaknya optimis dengan pertumbuhan akan datang walaupun pasaran masih tidak menentu.
Ini dipengaruhi kestabilan kadar faedah yang dijangka kekal pada 3 peratus hingga akhir tahun.
“Jadi, kami tidak akan terlalu bimbang berbanding separuh pertama apabila kadar faedah masih belum pasti dan kadar dasar semalaman (OPR) semasa tiga peratus dijangka akan terus kekal sehingga akhir tahun ini.
“Bagi pinjaman pula, pada awalnya kami berharap pembukaan semula ekonomi China akan membantu, tetapi ia tidak seperti yang dijangkakan. Namun, perkara itu dapat diatasi apabila sektor perkhidmatan terus berkembang, pelancongan terus meningkat.
“Jadi, dalam erti kata lain, kita masih akan terus melihat pertumbuhan untuk separuh kedua 2023,” katanya ketika taklimat media prestasi kewangan separuh pertama 2023 Maybank hari in