comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Keuntungan Farm Fresh melonjak 144 peratus

KUALA LUMPUR: Keuntungan Farm Fresh Bhd melonjak ketara disebabkan oleh penurunan kos bahan mentah tenusu, peningkatan margin daripada operasi Australia dan sumbangan daripada Inside Scoop.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) dan keuntungan selepas cukai (PAT) masing-masing meningkat sebanyak 144 peratus dan 133.4 peratus kepada RM14.3 juta dan RM13.1 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024.

Berbanding suku sama tahun kewangan sebelumnya, kumpulan mencatatkan peningkatan PBT dan PAT masing-masing sebanyak 9.1 peratus dan 15.1 peratus daripada RM13.1 juta dan RM11.4 juta.

Bagi suku dikaji, Farm Fresh mencatatkan pendapatan sebanyak RM198.3 juta, perolehan suku tahunan tertinggi setakat ini, peningkatan sebanyak 22.3 peratus daripada RM162.2 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu dan pertumbuhan sebanyak 6.9 peratus daripada RM185.5 juta dilaporkan pada suku terdahulu.

Peningkatan pendapatan itu terutamanya daripada saluran pengedaran hotel, restoran dan kafe (HORECA), jualan UHT lebih tinggi, jualan daripada produk baharu selain sumbangan daripada Inside Scoop.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh, Loi Tuan Enn, berkata keputusan positif bagi suku dikaji adalah amat menggalakkan dan bukti kepada kerja keras yang dibuat oleh syarikat semasa tempoh mencabar.

“Walaupun pendapatan lebih tinggi dan peningkatan margin disebabkan kos input lebih rendah adalah sesuatu bagus untuk dilaporkan, kami lebih gembira dengan kerja yang untuk membina asas lebih banyak pemangkin bagi pertumbuhan lebih tinggi.

“Ini termasuk melancarkan aiskrim barangan pembungkusan pengguna (CPG), kemasukan ke dalam pasaran Filipina dan pelancaran susu tepung tumbesaran yang diperbuat daripada tenusu asli tanpa gula tambahan dan diperkaya dengan BB-12 Probiotik,” katanya dalam satu kenyataan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini