KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih CTOS Digital Bhd melonjak 65 peratus kepada RM71.44 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 daripada daripada RM43.12 juta setahun lalu disebabkan hasil yang lebih tinggi.
Sementara itu, perolehan meningkat 27.2 peratus kepada RM194.78 juta daripada RM153.17 juta.
CTOS dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, operasinya di Malaysia menyumbang keuntungan RM65.1 juta untuk tahun kewangan 2022, meningkat 10.3 peratus daripada RM59 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
Ia disumbangkan oleh peningkatan 24.4 peratus dalam perolehan kepada RM181.46 juta daripada RM145.91 juta pada tahun kewangan 2021.
“Pendapatan lebih tinggi untuk ketiga-tiga jenis pelanggan (Akaun Utama, Komersial – Malaysia dan Terus kepada Pengguna) didorong oleh permintaan kukuh untuk Laporan Sistem Data CTOS, penyelesaian digital dan semakan portfolio komprehensif serta pertumbuhan dalam langganan Pengurus Kredit CTOS baharu,” katanya.
CTOS berkata, keuntungan daripada operasi antarabangsa hampir dua kali ganda kepada RM8.58 juta pada tahun kewangan semasa daripada RM4.44 juta setahun lalu susulan peningkatan 83.5 peratus dalam pendapatan kepada RM13.32 juta pada tahun semasa.
“Peningkatan ketara dalam hasil disumbangkan terutamanya oleh jualan data pukal yang lebih tinggi kepada pelanggan baharu,” katanya.
CTOS berkata, ia menjangkakan anak syarikat dan segmen perniagaannya akan meneruskan momentum pertumbuhan tahun lalu ke 2023 berikutan pemulihan berterusan ekonomi Malaysia dan serantau.
“Syarikat melaksanakan langkah-langkah mitigasi yang relevan dan tanpa mengambil kira sebarang keadaan yang tidak dijangka, lembaga pengarah optimis bahawa prospek jangka sederhana hingga panjang bagi kumpulan adalah positif,” katanya.
CTOS juga mengisytiharkan dividen interim satu peringkat keempat sebanyak 0.36 sen sesaham untuk tahun kewangan 2022 yang akan dibayar pada 15 Mac 2023 dengan tarikh kelayakan dividen pada 21 Februari 2023. – BERITA HARIAN