![](https://media.buletintv3.my/2023/02/CMS-PPZ-2023-02-17T163354.636.jpg)
KUALA LUMPUR: Keuntung bersih Sime Darby Plantation Bhd (SDP) meningkat 10 peratus kepada RM2.49 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2022 daripada RM2.26 bilion tahun lepas susulan daripada rekod prestasi operasi hiliran kumpulan itu, Sime Darby Oils (SDO).
Syarikat itu dalam makluman ke Bursa Malaysia berkata perolehan Sime Darby Plantation melonjak kepada RM21.03 bilion berbanding RM18.70 bilion.
“SDP telah mencapai keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) sebanyak RM859 juta pada tahun kewangan 2022, 61 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
“Purata harga realisasi yang lebih tinggi bagi harga minyak sawit mentah (MSM), peningkatan 20 peratus berbanding tahun sebelumnya telah mengimbangi penurunan 10 peratus dalam pengeluaran tandan buah segar (FFB),” katanya.
SDP berkata pengeluaran FFB pada tahun kewangan 2022 sangat tercabar di Malaysia, sebahagiannya diimbangi oleh pengeluaran yang lebih baik dalam operasinya di Indonesia, Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon.
Oleh itu, SDP mengunjurkan bahawa dengan jangkaan ketibaan pekerja menjelang akhir Jun 2023, operasinya di Malaysia akan menyaksikan peningkatan prestasi pada tahun kewangan 2023.
Ia telah meluluskan dividen akhir sebanyak 6.04 sen sesaham untuk tahun kewangan yang akan dibayar pada 15 Mei tahun ini, tarikh kelayakan dividen itu adalah pada 28 April.
Bersama-sama dengan dividen interim sebanyak 10 sen sesaham yang dibayar pada 18 Dis 2022, ia akan diterjemahkan kepada dividen satu peringkat sebanyak 16.04 sen sesaham untuk tahun kewangan 2022.
Bagi suku keempat berakhir 31 Dis 2022 (suku keempat tahun kewangan 2022), keuntungan bersih SDP menokok sebanyak 20 peratus kepada RM562 juta daripada RM467 juta sebelumnya walaupun penurunan pengeluaran BTS masing-masing sebanyak 2.0 peratus dan 4.0 peratus dan harga MSM direalisasikan berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, Pengerusinya Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata prestasi tersebut merupakan permulaan yang memberangsangkan kerana SDP telah mencatatkan prestasi positf pada tahun kewangan 2022 dan ia mendapat kelulusan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) untuk menyambung semula eksportnya ke AS.
“Syarikat telah kembali pulih dalam tempoh yang mencabar ini. Saya sangat berbangga dengan apa yang telah kami capai dan yakin syarikat kini berada pada kedudukan baik untuk memberikan nilai lebih besar kepada para pemegang saham kami serta mengekalkan komitmen kami terhadap pembangunan mampan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Urusan Kumpulan Mohamad Helmy Othman Basha pula berkata SDP telah bangkit dan pulih daripada pandemik dan prospeknya adalah cerah.
“Kami telah melancarkan pelan hala tuju ‘Net Zero’ untuk mencapai matlamat dan sasaran yang jelas menjelang tahun 2030 dan 2050. Pemacuan baharu untuk mekanisasi, mengautomasikan dan pendigitalan telah memberikan hasil yang memberangsangkan.
“Sudah tentu…usaha besar yang dilakukan oleh rakan sekerja saya di kumpulan ini untuk menangani sekatan oleh CBP AS telah memberikan hasil, memulihkan reputasi kami sebagai peneraju dalam semua bidang kemampanan,” kata Mohamad Helmy.
Mengenai prospek untuk tahun ini, SDP menjangkakan harga MSM akan kekal pada paras semasa bagi suku pertama 2023 berikutan permintaan kukuh disebabkan kelebihan harga jika dibandingkan dengan minyak alternatif dan kebimbangan bekalan hasil daripada jangkaan mandat biodiesel Indonesia yang lebih tinggi serta dasar eksport lebih ketat.
Selain itu, SDP juga menjangka pengeluaran BTS di Malaysia akan bertambah baik pada 2023 dengan ketibaan lebih ramai pekerja asing di Malaysia, khususnya penuai buah kelapa sawit.
BERNAMA