KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih RHB Bank Bhd (RHB Bank) untuk suku ketiga berakhir 30 Sept 2022 meningkat kepada RM700.48 juta daripada RM635.59 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Hasil meningkat kepada RM3.48 bilion daripada RM3.03 bilion sebelumnya.
Bagaimanapun, bagi sembilan bulan pertama tahun ini, keuntungan bersih susut kepada RM1.94 bilion daripada RM1.99 bilion sebelumnya.
Sementara itu, perolehan meningkat kepada RM9.33 bilion daripada RM8.86 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
RHB Bank dalam satu kenyataan hari ini berkata keuntungan bersih suku ketiga 2022 yang lebih tinggi kebanyakannya disebabkan pendapatan berasaskan dana bersih yang lebih tinggi, tidak mengalami kerugian pengubahsuaian (ML) dan jangkaan kerugian kredit yang lebih rendah (ECL).
Bank itu berkata pendapatan berasaskan dana bersihnya meingkat kepada RM4.66 bilion didorong oleh pendapatan berasaskan dana kasar lebih tinggi yang melonjak 11.6 peratus tahun ke tahun disokong oleh pertumbuhan pinjaman sebanyak 7.8 peratus dengan margin faedah bersih (NIM) untuk suku itu pada 2.27 peratus daripada 2.23 peratus yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Bagaimanapun, bank itu menyatakan bahawa pendapatan bukan berasaskan dana merosot kepada RM1.38 bilion terutamanya daripada pendapatan yuran keseluruhan yang lebih rendah, lebihan pengunderaitan insurans dan pendapatan dagangan dan pelaburan bersih.
Selain itu, ECL dikurangkan kepada RM384.8 juta daripada ECL lebih rendah atas pinjaman manakala hutang lapuk yang lebih tinggi dapat dipulihkan.
Seiring dengan itu nisbah caj kredit tahunan meningkat kepada 0.24 peratus berbanding 0.45 peratus untuk tempoh yang sama tahun lepas.
RHB Bank juga berkata jumlah aset kumpulan meningkat 5.8 peratus dari Disember 2021 kepada RM306.4 bilion pada 30 September 2022 dan kedudukan modal kekal kukuh dengan Ekuiti Biasa Tahap-1 (CET-1) dan jumlah nisbah modal kumpulan masing-masing berada pada 16.4 peratus dan 18.8 peratus.
Setakat ini, pinjaman dan pembiayaan kasar kumpulan itu meningkat 5.7 peratus kepada RM209.7 bilion, kebanyakannya disokong oleh pertumbuhan dalam gadai janji, kewangan kereta, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), komersial, Singapura dan Kemboja, manakala pinjaman domestik dan pembiayaan meningkat 4.3 peratus, katanya.
Pinjaman terjejas kasar (GIL) berjumlah RM3.3 bilion pada September 2022 dengan nisbah pinjaman terjejas kasar sebanyak 1.57 peratus berbanding sebanyak RM3.3 bilion dan 1.62 peratus pada Jun 2022 dan masing-masing pada RM3.0 bilion dan 1.49 peratus sebagai pada Disember 2021.
Deposit pelanggan meningkat 3.1 peratus tahun kepada RM225.6 bilion setakat ini dengan pertumbuhan dalam deposit tetap dan deposit pasaran wang berjangka serta akaun simpanan dan semasa (CASA) masing-masing sebanyak 3.1 peratus dan 3.0 peratus, kata RHB Bank.
“Kumpulan itu kekal berdaya tahan dan terus memberikan prestasi yang membanggakan bagi sembilan bulan berakhir September 2022 walaupun dalam persekitaran perniagaan yang mencabar. Asas kami kekal kukuh dan kami akan terus memantau kualiti aset kami dengan teliti.
“Kami juga sedar bahawa beberapa pelanggan kami masih dalam proses pemulihan daripada kesan pandemik dan justeru RHB Bank akan terus memberikan sokongan dan bantuan yang diperlukan terutamanya kepada golongan mudah terjejas dalam komuniti,” kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mohd Rashid Mohamad.
Melangkah ke hadapan, strategi Together We Progress (TWP24) kumpulan itu akan terus membimbing bank ke arah mencapai pertumbuhan berkualiti dan memacu kecemerlangan perkhidmatan merentas semua saluran penyampaian disokong oleh pelan digitalnya yang mantap, katanya. – BERNAMA