Tumpuan :
Detik Niaga

Keuntungan Bersih Petchem Meningkat Kepada RM1.87 Bilion

FOTO: Berita Harian

KUALA LUMPUR : Keuntungan bersih Petronas Chemicals Group Bhd (PetChem) meningkat sedikit kepada RM1.87 bilion pada suku kedua (S2) yang berakhir pada 30 Jun, 2022 (S2 Tahun Kewangan (TK) 2022) daripada RM1.86 bilion pada S2 TK2021.

PetChem dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata keuntungan bersih tinggi pada S2 TK2022 itu adalah hasil daripada keuntungan pertukaran asing tinggi ke atas penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada syarikat operasi bersama.  

Cabang kimia syarikat petroleum nasional Petroliam Nasional Bhd (Petronas) itu berkata hasilnya meningkat kepada RM6.58 bilion daripada RM5.61 bilion, disumbang terutamanya daripada harga produk tinggi sejajar dengan peningkatan harga minyak mentah di tengah-tengah bekalan terhad, walaupun ia diimbangi sebahagiannya oleh kuantiti jualan rendah. 

Bagi tempoh kumulatif enam bulan berakhir 30 Jun, 2022, keuntungan bersih syarikat itu meningkat kepada RM3.95 bilion daripada RM3.32 bilion tahun lalu, manakala hasil melonjak kepada RM13.22 bilion daripada RM10.28 bilion sebelumnya.

Dalam satu kenyataan berasingan, PetChem berkata syarikat itu mengisytiharkan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022 (TK2022). 

“Dividen yang berjumlah RM2.0 bilion itu merupakan agihan dividen tertinggi setakat ini dan akan dibayar pada September 2022,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi kumpulan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata harga produk kekal kukuh pada S2 TK2022 disebabkan oleh harga minyak mentah dan gas asli yang tinggi yang membantu mengurangkan kesan pengeluaran dan jumlah jualan lebih rendah semasa aktiviti pemulihan dan penyelenggaraan berjadual di loji baja kami di Sipitang, Sabah dan loji metanol di Labuan.

Beliau berkata kumpulan itu menyelesaikan semua aktiviti pemulihan dan penyelenggaraan loji pada Separuh Pertama 2022 dan menjangka kadar penggunaan loji akan melebihi 90 peratus pada Separuh Kedua 2022.

Menurut makluman itu, PetChem merekodkan kadar penggunaan loji rendah sebanyak 72 peratus pada S2 TK2022 berbanding 97 peratus pada S2 TK2021 disebabkan terutamanya aktiviti pemulihan dan penyenggaraan yang tinggi yang menyebabkan pengeluaran dan kuantiti jualan rendah.

Mengenai prospek bagi Separuh Kedua 2022, Mohd Yusri berkata peningkatan kos bahan mentah dan operasi ditambah dengan sekatan pergerakan di China telah melemahkan permintaan, terutamanya bagi produk kimia hiliran.

“Harga olefin & derivatif dijangka stabil dengan peningkatan permintaan berikutan pelonggaran sekatan di China, menjelang aktiviti stok semula pada akhir tahun ini.

“Harga urea dilihat mempunyai beberapa pembetulan tetapi berkemungkinan akan kekal tinggi berbanding paras harga sejarah,” katanya. 

Mengenai projek pertumbuhan kumpulan, Yusri berkata aktiviti pengoperasian di Kompleks Bersepadu Pengerang mencatatkan kemajuan sejak Mei dan permulaan fasiliti petrokimia telah bermula secara berperingkat sejak Julai.

Beliau berkata pembinaan loji Nitril Butadiena Lateks di Pengerang dan etoksilat dan poliol khusus di Kerteh juga sedang berjalan lancar, lebih awal daripada tarikh operasi berjadual pada Separuh Kedua 2023.

Sementara itu, beliau berkata cadangan pengambilalihan Perstorp Holdings AB (Perstorp) dijangka selesai pada awal S4 TK2022. 

“Sebagai platform pertumbuhan dalam portfolio bahan kimia khusus kami, Perstorp akan meningkatkan prestasi dan nilai jangka panjang kami.

“Kami percaya pengambilalihan ini akan mengekalkan kesinambungan masa hadapan syarikat kami dalam menghadapi turun naik pasaran dan perubahan industri yang dinamik serta memajukan peralihan transformasi ke arah masa depan pelepasan karbon sifar bersih,” katanya. — BERNAMA

Loading...
Terkini