Tumpuan :
Detik Niaga

Kertas putih gaji progresif dibentang di Parlimen pada Khamis

KUALA LUMPUR: Kertas putih mengenai gaji progresif akan dibentangkan di Parlimen pada Khamis ini, demikian menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, negara berada dalam keadaan unik berikutan pelaksanaan gaji minimum yang memperlihatkan gaji untuk pekerja muda yang mula memasuki sektor pekerjaan atau pekerja separuh kemahiran yang bekerja lima hingga 10 tahun, gaji mereka sukar meningkat.

Katanya, keadaan itu menyebabkan gaji median iaitu gaji pertengahan pekerja di negara ini adalah sekitar RM2,600 saja, hanya RM11 daripada paras kemiskinan keluarga RM2,589.

“Justeru, kerajaan merasakan perlu gandingkan gaji minimum yang melindungi pekerja bawahan dan menetapkan lantai gaji ini dengan satu lagi dasar yang boleh melonjakkan dan menggalakkan peningkatan gaji bagi kumpulan lain yang tidak tertakluk kepada gaji minimum.

“Sekarang ini, gaji minimum hanya pekerja bawahan (berkemahiran rendah),” katanya ketika ditemui di Persidangan Tinjauan Ekonomi Negara (NEOC) anjuran Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) di sini, hari ini.

Rafizi berkata, dengan mengambil pertimbangan itu, kerajaan berpandangan perkara itu tidak boleh diserahkan kepada aturan majikan semata-mata dan adalah perlu dasar yang boleh berganding dengan dasar gaji minimum.

Katanya, kerajaan juga sedar gaji yang lebih baik akan menghasilkan produktiviti yang lebih tinggi.

“Kami melihat gaji progresif sebagai serampang dua mata dan pada masa sama memastikan bahagian pendapatan pekerja lebih tinggi.

“Kita juga rasa dengan gaji yang tinggi akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, inovasi dan penciptaan nilai,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata pembaharuan struktur ekonomi yang dimulakan pada 2023 akan meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang baik untuk mengambil sepenuhnya peluang keadaan ekonomi dunia yang diunjurkan bertambah baik pada 2024 dan selanjutnya.

Beliau berkata, tanggungjawab kerajaan adalah memastikan penyelarasan dari segi perancangan dan sambutan pemain industri dan swasta dengan dasar perubahan struktur ekonomi makro yang ditumpukan pada 2024.

Katanya, walaupun masih ada risiko kepada perkembangan ekonomi dunia, tetapi secara konsensusnya, ketidaktentuan terutama berkaitan kadar mata wang yang disebabkan oleh dasar mata wang di Amerika Syarikat (AS) dijangka akan reda pada 2024.

“Jika keadaan itu berlaku dengan asas yang baik dari segi pembaharuan struktur ekonomi yang telah dimulakan pada 2023, itu akan meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang baik untuk kita mengambil sepenuhnya peluang keadaan ekonomi dunia yang bertambah baik 2024 dan seterusnya,” katanya.

Loading...
Terkini