Tumpuan :
Detik Niaga

Kerjasama Malaysia-Thailand, perkukuh Rangkaian Rel Pan-Asia

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyampaikan ucapan perasmian pada perasmian pelancaran Sidang Kemuncak Malaysia – China 2024 (MCS2024) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

Oleh: Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Malaysia rancang untuk memperkukuh sambungan kereta api dengan Thailand dalam usaha pertingkat perdagangan serantau melalui Rangkaian Kereta Api Pan-Asia.

Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, perkara berkenaan dibangkitkan semasa lawatan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra ke Malaysia, semalam.

“Sememangnya kita mahu membina hubungan yang lebih baik dengan Thailand, khususnya dalam aspek rangkaian rel. Jika kesalinghubungan dengan Thailand dapat diperkukuh, dan Thailand pula berhubung dengan Laos serta seterusnya ke China, ia pasti membantu merealisasikan rangkaian rel Pan Asia,” kata Loke kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Malaysia-China di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec) pagi tadi.

Ketika ini, rangkaian kereta api Pan-Asia mengendalikan kereta api kargo antara Malaysia ke China.

“Kesalinghubungan adalah faktor utama di sini. Tanpa hubungan rel pengangkutan, perdagangan tidak dapat mengalir,” kata Loke.

Itulah sebabnya, Loke berkata Kementerian Pengangkutan menyokong penuh usaha untuk memudahkan perhubungan, kerana pengangkutan yang lebih baik akan memacu perdagangan di rantau ini.

Jelasnya, rangkaian tren Pan Asia yang turut termasuk ASEAN Express, kereta api kargo antara Malaysia dan China tidak berkembang secara meluas kerana beberapa cabaran, termasuk isu kastam dan pelepasan barangan.

“Kebanyakan perdagangan kini dijalankan melalui laut. Tetapi kami berharap kami dapat mengangkut barang kami dengan lebih baik dengan kereta api.Itulah sebabnya salah satu agenda utama Malaysia adalah untuk memacu kesalinghubungan Asean,” kata Loke.

Ketika ini, kira-kira 90 peratus hingga 95 peratus perdagangan dilakukan melalui maritim atau laut.

Beliau turut menegaskan usaha kerajaan membangunkan projek rel seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek landasan berkembar bertujuan mengurangkan kesesakan jalan raya serta menggalakkan penggunaan kereta api sebagai mod pengangkutan utama.

“Sebaik ECRL siap, kita akan melaksanakan inisiatif untuk memastikan infrastruktur rel ini dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar dan rakan sejawatnya dari Thailand mengarahkan agensi berkaitan mempercepatkan kemajuan dalam cadangan rangkaian rel berkembar antara Ipoh-Padang Besar dan Padang Besar-Hat Yai serta penjajaran kereta api berkelajuan tinggi di kedua-dua negara.

Ia sejajar aspirasi bersama mempromosikan hubungan lebih erat dan meningkatkan aliran rentas sempadan bagi barangan serta penumpang antara Malaysia dan Thailand, seterusnya di seluruh rantau ini.

Kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan mempercepatkan rundingan memorandum persefahaman (MoU) berkenaan pengangkutan rentas sempadan bagi memudahkan pergerakan barangan dan penumpang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini