Oleh Afrina Romzi
PETALING JAYA: Kerajaan wajar memperkenalkan program Perkhidmatan Asas Sejagat (UBS) yang merangkumi inisiatif lebih menyeluruh serta reformis, dan bukan hanya tertumpu kepada pendapatan individu.
Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata menerusi program UBS, kerajaan boleh menyediakan pelbagai kemudahan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan pemberian wang bantuan langsung secara berterusan kepada rakyat.
“UBS merangkumi perkara lebih luas dan bukan hanya melibatkan pendapatan semata-mata tetapi juga pendapatan sosial. Jadi bantuan-bantuan secara menyeluruh dari segi kemudahan asas yang diperlukan oleh rakyat Malaysia supaya dapat hidup lebih wajar dan bermaruah. Selain itu, dapat memastikan adanya bantuan kewangan yang mencukupi setiap bulan,” katanya kepada BuletinTV3.
Program UBS juga sejajar dengan konsep Malaysia MADANI yang menerapkan elemen kemampanan, kesejahteraan dan ihsan.
Tegasnya, pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak wajar diteruskan diteruskan lagi.
Sebaliknya, tumpuan perlu diberi untuk mengisi semula simpanan hari tua pencarum, sejajar dengan pemulihan ekonomi.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan sedang mengkaji alternatif atau penyelesaian lain untuk membantu rakyat yang menghadapi masalah kewangan tanpa mengeluarkan simpanan KWSP supaya tidak membebankan pekerja apabila bersara nanti.