Oleh: Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Kerajaan dan syarikat Jepun sedang mengikuti rapat perbincangan mengenai Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (KL-Singapura).
Duta Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi, berkata pihak Jepun mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” perkembangan daripada syarikat swasta terlibat ketika ini.
“Kami sedang melihat bagaimana syarikat swasta ingin melaksana projek ini. Kemudian, kami akan fikir apa yang syarikat dan kerajaan Jepun boleh terlibat sama.
Jadi, kami menjangka beberapa perkembangan akan datang supaya kami boleh menyemak penglibatan kami,” katanya kepada BuletinTV3 ketika ditemui di Forum 50 tahun Kerjasama ASEAN-Jepun anjuran Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik hari ini.
Tambah beliau, projek HSR yang pernah dibatalkan sebelum ini, memerlukan pelbagai perbincangan antara pihak Malaysia dan Singapura.
Ditanya jika projek ini dapat memanfaatkan Malaysia terutama tanpa dana kerajaan, beliau berkata ia bergantung kepada pelaksanaan projek itu supaya dapat dibangunkan dengan wajar dari segi ekonomi.
“Saya fikir ia bergantung kepada bagaimana anda akan melaksana projek ini. Kewajaran ekonomi adalah perkara yang paling penting. Tanpa kebolehlaksanaan ekonomi, projek ini tidak dapat dilaksanakan. Saya berharap semua yang terlibat dapat mencari cara untuk memastikan projek ini boleh dilaksanakan dengan wajar secara ekonomi,” katanya.
Sebelum ini, MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp), berkata pelaksanaan semula projek HSR KL-Singapura akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta dan tidak membabitkan kos daripada kerajaan.
MyHSR Corp juga mempelawa syarikat swasta tempatan dan luar negara yang berminat untuk menghantar cadangan konsep masing-masing kepada pihaknya.
Dalam pada itu, susulan pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Malaysia (NETR) bulan lalu, Takahashi menjangkakan perbincangan lanjut antara Jepun dan Malaysia melalui projek kerjasama khusus antara kedua-dua negara.
“Syarikat-syarikat Jepun juga sedang melaksanakan kajian kebolehlaksanaan terhadap pengeluaran hidrogen di Malaysia. April lalu, sebuah syarikat Jepun telah menubuhkan kilang bio di Kuching, Sarawak untuk menggalakkan neutraliti karbon melalui pengeluaran bahan api bio dan bahan organik lain,” katanya pada ucapan majlis.
Kerjasama Malaysia-Jepun juga amat kukuh, terutama dengan polisi Dasar Pandang Ke Timur (LEP) yang dilancarkan pada 1982.
Lebih 26,000 rakyat Malaysia telah melawat Jepun untuk belajar dan mendapatkan latihan. Mereka telah menjadi asas pembangunan perindustrian Malaysia dan memainkan peranan penting dalam menghubungkan kedua-dua negara.