comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan setuju beri kelonggaran 6 bulan kemuka e-Invois 

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Abu Tariq Jamaluddin pada sidang media e-Invois hari ini.

Oleh: Afrina Romzi

CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memberi kelonggaran kepada pembayar cukai dalam tempoh enam bulan daripada tarikh pelaksanaan mandatori e-Invois bermula 1 Ogos depan.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Abu Tariq Jamaluddin berkata tempoh kelonggaran ini diharap akan memberi masa yang cukup kepada pembayar cukai untuk memastikan pelaksanaan e-Invois sepenuhnya yang lebih berkesan.

“Kelonggaran enam bulan dari tarikh pelaksanaan mandatori untuk mengeluarkan e-Invois yang disatukan bagi semua transaksi seperti membenarkan semua aktiviti atau industri untuk mengeluarkan e-Invois yang disatukan termasuk e-Invois bil kendiri.

“Selain itu, membenarkan apa-apa penerangan transaksi dimasukkan di bahagian Keterangan Produk atau Perkhidmatan.

“Jika terdapat permohonan e-Invois daripada pembeli, penjual juga dibenarkan untuk hanya mengeluarkan e-Invois yang disatukan tanpa mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi,” katanya pada sidang media e-Invois hari ini.

Tambah beliau, dalam tempoh enam bulan tersebut, tiada tindakan pendakwaan di bawah Seksyen 120 Akta Cukai Pendapatan 1967 terhadap ketidakpatuhan peraturan e-Invois, dengan syarat pembayar cukai mematuhi keperluan e-Invois yang disatukan.

E-Invois akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta melibatkan 5,000 pembayar pada 1 Ogos depan.

Seterusnya, mereka dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM25 juta sehingga RM100 juta pada 1 Januari 2025.

Manakala semua pembayar cukai yang menjalankan aktiviti komersial serta perniagaan baharu perlu melaksana e-Invois pada 1 Julai 2025.

Bagi mengiktiraf pembayar cukai yang berjaya melaksanakan e-Invois mengikut garis masa yang ditetapkan tanpa menggunakan kelonggaran, tempoh tuntutan elaun modal diturunkan daripada tiga tahun kepada dua tahun bagi pembelian peralatan ICT dan pakej perisian komputer berkuat kuasa mulai Tahun Taksiran (TT) 2024 hingga 2025.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini