Oleh Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan peruntukan RM367 bilion yang diselaraskan dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) tahun depan.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), peruntukan SDG membabitkan semua program operasi dan pembangunan itu masih menunggu kelulusan parlimen.
Timbalan Ketua Setiausaha MOF Datuk Johan Mahmood Merican berkata, ini sememangnya langkah pertama bagi membolehkan kami mengenal pasti sebarang jurang seperti untuk mengimbangi semula perkara yang diperlukan serta pelan masa depan MOF.
“Sebagai contoh, pengukuhan dari segi dasar perolehan. Cara kami mengoptimumkan dari segi apa yang tersedia dalam pengembangan pentadbiran awam untuk menyokong agenda mampan,” katanya pada hari kedua Program Kepimpinan Pembiayaan Hijau Global (GFLP) anjuran Bank Dunia serta Institut Kewangan dan Kelestarian Beijing (IFS) di sini, hari ini.
Tambah beliau, cadangan peruntukan bajet itu akan diselaraskan kepada semua 17 SDG.
Ini termasuk 21.2 peratus untuk Pendidikan Berkualiti, diikuti Keamanan, Keadilan dan Keutuhan Institusi pada 18.4 peratus serta Kesihatan dan Kesejahteraan yang baik pada 11.5 peratus.
Tiga SDG itu berfokuskan penyediaan sistem pendidikan berkualiti bagi memastikan pembelajaran yang berkesan dengan menyediakan kemahiran dan pengetahuan.
Ini selain menghasilkan peningkatan daripada segi sosial, ekonomi dan kesihatan orang ramai.