Oleh Juliana Pija Ismail
PELABUHAN KLANG: Kerajaan pusat bersedia untuk berbincang dengan kerajaan Sarawak bagi meneliti semula status Pelabuhan Bintulu sebagai Pelabuhan Persekutuan.
Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, penyerahan pelabuhan itu kepada kerajaan negeri dianggap sebagai cadangan yang baik untuk pembangunan ekonomi sarawak.
“Untuk diserahkan kepada kerajaan Sarawak, ia perlu melalui pelbagai proses perundangan namun kementerian mengalu-alukan perbincangan bersama.Saya memahami apa aspirasi yang kerajaan Sarawak inginkan. Saya tidak menolak perbincangan tersebut dan kita terbuka tetapi ia akan memerlukan banyak proses kerana Pelabuhan Bintulu merupakan pelabuhan persekutuan” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan pembukaan gudang baharu Infinity Logistics & Transport Sdn Bhd, di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan kerajaan negeri Sarawak akan berbincang dengan Putrajaya untuk mengambil semula Pelabuhan Bintulu, yang kini berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.
Ia bagi membolehkan Pelabuhan Bintulu ditadbir dan dibangunkan lagi sebagai pelabuhan negeri mengikut strategi yang dirangka untuk pelabuhan di Sarawak.
Dalam perkembangan lain, Pulau Carey menjadi lokasi yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai pelabuhan antarabangsa ketiga di Selangor selepas pelabuhan utara dan barat.
Kajian kebolehlaksanaan projek yang dijalankan Lembaga Pelabuhan Klang itu mendapati lokasi dan struktur geografi pulau berkenaan sesuai untuk dibangunkan.
Beliau berkata hala tuju pembangunan itu akan dibincangkan dengan teliti di peringkat kabinet.
Projek pelabuhan mega Pulau Carey melibatkan pembangunan jangka masa panjang 20 hingga 30 tahun akan datang.
Beliau menambah pembangunan pelabuhan negara telah diswastakan sejak 90an dan kementeriannya mengalu-alukan penyertaan pihak swasta untuk membangunkan pelabuhan Pulau Carey.