comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] Kerajaan sasar kurangkan pinjaman tahunan kepada RM86 bilion untuk 2024

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Kerajaan mensasar untuk mengurangkan pinjaman tahunan kepada RM86 bilion bagi 2024 berbanding RM93 bilion pada 2023 dan RM100 bilion pada 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pengurangan ini ialah hasil daripada langkah kerajaan mengurangkan defisit kepada 4.3 peratus tahun ini, berbanding lima peratus dan 5.6 peratus pada 2023 dan 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 hari ini. – FOTO: NSTP

“Jadi maknanya daripada RM100 bilion hutang pentadbiran lalu, pentadbiran kita turun kepada RM86 bilion dan ini perlu dikurangkan.

“Kalau kurangkan secara mendadak, maka tidak dapat kita teruskan dengan agenda pembangunan kita, universiti tidak boleh dikembangkan dan terdapat juga beberapa inisiatif baharu kecerdasan buatan dan pendigitalan harus diperkenalkan. Sekolah-sekolah perlu diperkenalkan dengan pembangunan baharu,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 hari ini.

FOTO: NSTP

Tambah beliau, rasionalisasi subsidi sewajarnya merupakan usaha komprehensif yang merangkumi spektrum yang meluas untuk mengurangkan pinjaman tahunan kerajaan.

Ini selain usaha menangani rasuah dan melaksanakan cara yang lebih cekap untuk menguatkuasakan undang-undang dan langkah percukaian.

Kerajaan juga akan memastikan perbelanjaan dilaksana secara berhemat, serta hanya meminjam mengikut keperluan bagi tujuan pembangunan dan sebahagiannya untuk membayar hutang yang tertunggak.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar berharap hasil negara dapat meningkat, lebih daripada unjuran tahun ini, berbanding angka tahun lalu, menerusi penglibatan semua pihak untuk membayar cukai masing-masing.

“Saya mahu lihat, setiap sen, setiap ringgit yang perlu dibayar itu dibayar tanpa kecuaian. Tetapi saya juga melihat seperti mana saudara tahu, tidak membebankan orang atau syarikat, lebih daripada had yang ditetapkan,” katanya.

Tambah beliau, asas cukai Malaysia sangat rendah pada 11.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding kebanyakan negara rantau seperti Vietnam pada 17 peratus, Filipina pada 18 peratus dan Singapura pada 13.8 peratus, menyebabkan kecekapan kutipan hasil negara yang lebih mencabar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini