Kerajaan telah menandatangani perjanjian melibatkan jaminan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan FELDA.
Menurut Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebahagian besar penstrukturan semula pinjaman FELDA ini akan melibatkan pengurangan prinsipal hutang FELDA bersama institusi kewangan sebanyak RM7.9 bilion.
Ia juga akan mengurangkan kos kewangan FELDA terhadap kadar faedah yang dikenakan serta membolehkan FELDA memberi pemansuhan 80% hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang dilaksanakan pada tahun 2021.
“Jaminan kerajaan ini dijangka dapat menstabilkan kedudukan kewangan FELDA serta menjamin model perniagaan yang lebih mampan supaya ia terus berupaya mengangkat mobiliti sosial warga peneroka dan generasi baharu FELDA,” kata Datuk Seri Anwar dalam satu kenyataan.
Di samping itu, kerajaan telah menambah baik tatakelola penyaluran dana kepada FELDA sebagai agensi badan berkanun Kerajaan dengan melantik AmanahRaya Trustees sebagai pemegang amanah transaksi akaun bagi memastikan pelan transformasi FELDA berada di landasan yang tepat serta memenuhi keperluan akauntabiliti dan integriti.