Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan peruntuk skim jaminan RM20 bilion untuk PKS, RM10 Bilion bagi pemilikan rumah

Foto hiasan

Oleh: Izabelle Choong

KUALA LUMPUR: Kerajaan melancarkan inisiatif baharu di bawah Belanjawan 2025 dengan peruntukan RM20 bilion bagi Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta tambahan RM10 bilion untuk Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah ini bertujuan memperkukuh daya saing PKS dan membantu golongan tanpa pendapatan tetap memiliki rumah pertama.

“Kami mahu memastikan lebih ramai usahawan mendapat akses kepada pembiayaan serta membantu rakyat memiliki kediaman sendiri,” katanya ketika majlis peluncuran Inisiatif Belanjawan 2025–Peruntukan SJPP dan SJKP di sini, hari ini.

Menurut beliau, SJPP dijangka menjamin sehingga 80 peratus pembiayaan bagi sektor tumpuan seperti teknologi tinggi, pelancongan, dan ekonomi hijau, manakala SJKP akan memanfaatkan lebih 20,000 peminjam dalam kalangan pekerja gig, usahawan mikro, serta mereka dalam sektor informal.

“Kerajaan juga memperkenalkan Skim Step Up Financing untuk pembeli rumah pertama, di mana bayaran balik lebih rendah dalam tempoh lima tahun pertama bagi meringankan beban kewangan,” katanya.

Sejak ditubuhkan, SJPP telah menjamin lebih 75,000 usahawan dengan pembiayaan melebihi RM102 bilion, manakala SJKP telah meluluskan lebih 76,000 permohonan dengan jumlah pembiayaan RM17.8 bilion sehingga akhir 2024.

Langkah ini dilihat sebagai usaha strategik kerajaan dalam memperkukuh ekonomi negara, memacu pertumbuhan PKS, serta memastikan kesejahteraan sosial melalui pemilikan rumah yang lebih mudah diakses oleh golongan yang memerlukan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini