Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan perlu masa untuk mengukuhkan fiskal negara 

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengiringi Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid dan Pengarang Urusan Kumpulan NSTP merangkap Pengarang Kumpulan BH Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (kiri) dan Pengurus Besar Kumpulan, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Azlan Abdul Aziz selepas lawatan kumpulan Media Prima Berhad di Kementerian Ekonomi, Putrajaya. – FOTO: NSTP

Oleh Afrina Romzi

PUTRAJAYA: Kerajaan memerlukan beberapa tahun untuk mengukuhkan kedudukan fiskal ekoran hutang negara yang mencecah RM1.5 trilion.

Bagaimanapun, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berharap rakyat tidak panik kerana kerajaan masih mempunyai ruang untuk mengurus kewangan negara termasuk aktiviti pembangunan.

“Apabila kedudukan fiskal itu semakin kukuh, ada laba ekonomi kepada negara yang akan dirasai oleh rakyat dalam dua, tiga tahun akan datang. Konsepnya sama, kalau demam, kena ambil panadol, awalnya ada orang tidak suka Panadol, tidak suka ubat, tetapi kena ambil ubat dahulu kan,” katanya selepas menyambut kunjungan hormat ke Kementerian Ekonomi daripada pengurusan tertinggi Media Prima, diketuai Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.

Dalam pada itu, beliau turut menggariskan strategi serampang tiga mata.

Pertama, mengukuhkan kedudukan fiskal. Kedudukan fiskal berkait dengan hasil dan perbelanjaan, perkara jangka pendek yang boleh dilakukan ialah mendapatkan nilai terbaik daripada perbelanjaan kerajaan.

Sebagai contoh, katanya kementerian bertanggungjawab untuk perbelanjaan pembangunan jangka panjang.

“Kita boleh memastikan bahawa penyampaian projek dan kecekapan kos setiap projek kerajaan dimaksimumkan, itulah cara menjimatkan perbelanjaan.”

Tambah beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sekurang-kurangnya RM10 bilion dapat diperoleh segera daripada sistem dengan mengurangkan ketirisan.

Dengan memperuntukkan semula dan mengutamakan perbelanjaan, negara mampu mengukuhkan kedudukan fiskal dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, pendekatan itu tidak mencukupi dan terdapat keperluan untuk meluaskan aliran pendapatan negara.

“Jadi terdapat beberapa pertimbangan dan keputusan dasar yang perlu kami buat tetapi saya rasa itu akan mengambil masa yang lebih lama untuk kami pertimbangkan kerana kesannya jauh lebih besar. Ia merangkumi mengimbangi pertumbuhan, mengutamakan sektor tertentu serta memastikan bahawa apa sahaja yang kita lakukan itu tidak melembabkan pertumbuhan trajektori ekonomi negara,” katanya.

Strategi ketiga adalah dengan menstruktur semula ekonomi supaya negara dapat meraih lebih banyak perkhidmatan bernilai tinggi, syarikat bernilai tinggi sekaligus meningkatkan pendapatan rakyat yang akan menyumbang kepada hasil negara.

Loading...
Terkini