KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melaksanakan pembaharuan cukai lebih berani dan bukan hanya merasionalkan subsidi untuk mencapai sasaran defisitnya antara 3.0 peratus dan 3.5 peratus menjelang akhir 2025, kata pakar ekonomi kanan RAM Ratings, Woon Khai Jhek.
Beliau berkata ruang fiskal yang terhad kekal menjadi penghalang utama untuk mencapai sasaran tersebut, tambah-tambah lagi dengan hasrat kerajaan untuk meneruskan penyatuan fiskal, apabila ia menyasarkan penurunan defisit fiskal yang agak ketara kepada antara 3.0 peratus dan 3.5 peratus menjelang akhir 2025.
“Dengan mengandaikan tiada peningkatan besar hasil atau penurunan dalam perbelanjaan, sekiranya perbelanjaan pembangunan masih stabil pada sekitar RM90 bilion pada 2025, defisit fiskal mungkin berlegar sekitar 4.0 peratus pada 2025, mengikut anggaran kami,” katanya.
Woon berkata demikian menerusi komentarnya mengenai bagaimana Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMKe-12) 2021-2025 boleh memacu prospek yang baik kepada Malaysia pada masa depan.
Sementara itu, beliau berkata, NIMP 2030 adalah pelan yang berpotensi menggerakkan perubahan untuk membawa Malaysia dan sektor pembuatannya ke peringkat pembangunan seterusnya.
NIMP 2030 dilengkapkan oleh KSP RMKe-12 yang dibentangkan baru-baru ini, yang menyelaraskan semula pelan tindakan jangka terdekat dan sasaran utama dengan wawasan Ekonomi Madani sehingga 2025.
Pendekatan berasaskan misi NIMP 2030, yang memanfaatkan usaha seluruh negara, akan membantu menumpu dan membimbing usaha yang lebih bersepadu kepada pembangunan ekonomi negara.
“Walaupun boleh dikatakan terdapat beberapa sasaran ‘yang memerlukan usaha besar’ dalam NIMP 2030, cita-cita ini amat penting untuk Malaysia terus kekal bersaing dan relevan dalam arena global yang pesat membangun dan berdaya saing ini.
“Justeru, kunci kepada mana-mana rancangan yang bermatlamat baik terletak kepada pelaksanaannya, satu tugas yang sukar tetapi tidak mustahil untuk dicapai oleh kerajaan perpaduan,” tambahnya.