Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan masih terbuka bagi projek HSR KL-Singapura

Foto hiasan

Oleh Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih terbuka kepada cadangan pembinaan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura selagi ia membabitkan pelaburan swasta.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, setakat ini kerajaan belum ada sebarang keputusan mengenai pembangunan HSR KL-Singapura.

Perjanjian projek HSR KL-Singapura disahkan berakhir pada 31 Disember 2021, sekali gus projek berkenaan terbatal secara sendirinya.

Katanya, kerajaan tidak menutup pintu terhadap sebarang cadangan membangunkan semula projek itu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kebenaran untuk rundingan selagi pembangunannya tidak dibiayai kerajaan.

“Kami terbuka kepada sebarang cadangan selagi ia membabitkan pelaburan swasta. Ketika ini, tidak ada cadangan khusus yang diterima,” katanya pada sidang media di Invest Malaysia 2023 anjuran Bursa Malaysia dan Maybank.

Malaysia dan Singapura mula menandatangani perjanjian dua hala mengenai projek itu pada 13 Disember 2016 namun projek itu ditamatkan selepas mengalami beberapa kelewatan.

Mengenai perkembangan projek pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, pula Loke berkata, projek berkenaan sedang berjalan lancar.

Beliau berkata, kerajaan komited menyiapkannya mengikut jadual iaitu menjelang penghujung 2026 dan akan mula beroperasi pada 2027.

Mengenai cadangan pembinaan pelabuhan di Pulau Carey, Loke berkata, cadangan pembangunan pelabuhan ketiga di Pelabuhan Klang itu dijangka tidak menjejaskan persaingan pelabuhan sedia ada di Selangor.

Katanya, pembangunan pelabuhan Pulau Carey dijangka mengambil masa panjang iaitu sehingga 30 tahun dengan fasa pertama membabitkan pembinaan untuk kegunaan kargo konvensional.

Namun, kata beliau pembangunan pelabuhan ini yang menerima banyak minat dari sektor swasta akan dibentangkan di Kabinet dalam beberapa bulan ini.

Loading...
Terkini