KUALA LUMPUR: Kerajaan masih mempunyai ruang untuk membiayai Belanjawan 2023 yang akan dibentang semula pada 24 Februari ini meskipun hutang kerajaan persekutuan ketika ini berada pada paras RM1.2 trilion.
Penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, paras hutang rasmi kerajaan, yang tidak mengambil kira liabiliti, masih di bawah had siling hutang statutori 65 peratus.
Katanya, berdasarkan kiraan hutang rasmi kerajaan, ia ketika ini berada di paras kira-kira 61 peratus.Namun begitu, beliau berkata, ruang baki yang ada adalah agak terhad kerana ia menghampiri paras had siling.
“Hutang rasmi kerajaan masih belum melepasi paras 65 peratus,” katanya kepada BH.Barjoyai berkata, jika dibandingkan dengan negara lain, hutang negara tidak terlalu tinggi kerana ia masih separuh daripada Singapura, rendah berbanding Indonesia dan hampir sama dengan Thailand.
Beliau berkata, adalah tidak berasas untuk menyatakan kadar hutang negara ketika ini bakal menjadikan Malaysia seperti Greece.
Jelasnya, berbanding Greece, hutang kerajaan persekutuan secara majoritinya adalah daripada pinjaman dalam negara iaitu lebih 90 peratus.
“Pinjaman dalam negara pula kebanyakannya daripada institusi berkaitan kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Tabung Haji (TH).
“Institusi ini masih di bawah kawalan kerajaan. Kita anggap ini hutang sebab langkah berhati-hati,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menyatakan hutang negara kini sudah mencecah hampir RM1.2 trilion dan jika turut mengambil kira liabiliti, ia menjadi RM1.5 trilion.
Kedudukan terkini itu, katanya sudah mencecah melebihi 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan usaha menanganinya wajar disegerakan.Ia turut memberi kesan apabila defisit bajet menjadi lebih melebar daripada jangkaan awal iaitu 5.8 peratus daripada KDNK untuk tahun 2022.
Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, langkah mengatasinya juga perlu dilaksanakan dengan tepat dan percaya Anwar yang juga Menteri Kewangan dapat menyelesaikannya.
Beliau berkata, ini kerana Anwar terkenal dengan usahanya mengimbangi dan mengurangkan kadar hutang negara.”Saya rasa beliau akan lakukan yang sama dengan rancangan lima tahun akan datang iaitu kurangkan defisit sekali gus kurangkan hutang negara,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata kadar hutang yang tinggi tidak akan memberikan kesan kepada persepsi luaran, terutama penarafan negara.
Beliau berkata, ini kerana bukan hanya Malaysia yang berdepan dengan paras hutang tinggi, malah kebanyakan negara dunia turut mengalaminya.
Katanya, kadar hutang pada peringkat global ini disebabkan oleh kesan pandemik COVID-19 serta langkah tambahan yang dilaksanakan bagi menyokong pemulihan ekonomi masing-masing.”Ini bukan luar biasa namun pihak kerajaan harus terus mengimbangkan antara pendapatan dan keperluan berbelanja melalui dasar fiskal bagi membantu rakyat,” katanya.
Aimi Zulhazmi berkata, walaupun begitu kadar hutang ini tidak boleh dianggap remeh dan ia perlu dikurangkan, dikawal secara berhemat serta tidak boleh dibiarkan terus naik.Beliau berkata, kerajaan mesti lebih agresif untuk menarik pelabur asing mahupun tempatan untuk menjana ekonomi domestik terutamanya.
Katanya, permudahkan lagi cara melabur di Malaysia dengan pelbagai strategi yang konstruktif dan logikal untuk menarik pelabur.
Selain itu, katanya, bagi menyokong pendapatan negara dan mengimbangi kadar hutang, kerajaan dicadangkan mengenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar yang lebih adil dan saksama serta pengurangan cukai pendapatan individu dan korporat.
“Seharusnya cukai penggunaan seperti GST lebih sesuai terutamanya untuk mengutip cukai dari golongan yang berpendapatan tinggi berdasarkan kuasa membeli mereka yang tinggi.”Namun, janganlah diulangi kesilapan pelaksanaan GST yang dahulu. Ia memberikan kesulitan kepada rakyat dan perniagaan.”Kadar juga haruslah dimulai pada paras yang rendah seperti dua hingga tiga peratus,” katanya.