comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan, LGM laksana program konsolidasi getah, uruskan ladang terbiar

Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Hari Teknologi LGM hari ini.

Oleh: Afrina Romzi

SUNGAI BULOH: Kementerian Perladangan dan Komoditi menerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan melaksanakan program konsolidasi bersama pekebun kecil getah untuk menguruskan 420,000 hektar ladang getah terbiar seluruh negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata ladang getah terbiar itu boleh menghasilkan 550,000 tan getah asli dan ia dapat meningkatkan pengeluaran, sekaligus mengurangkan import.

“Dengan kerjasama LGM dengan agensi kerajaan lain termasuk FELCRA dan RISDA, kita akan berbincang, macam mana kita boleh memastikan purata import getah asli sebanyak RM6 bilion dapat disalurkan kepada pekebun-pekebun getah dan pemain industri terlibat,” katanya kepada media pada Hari Teknologi LGM hari ini.

Katanya, Malaysia daripada menjadi pengeluar getah terbesar pada tahun 1990, kini merupakan antara pengimport terbesar getah di dunia dengan mengimport satu juta tan getah asli bernilai RM5.7 bilion tahun lalu bagi menampung keperluan industri hiliran domestik.

Datuk Seri Johari turut berkata walaupun keluasan tanaman tidak banyak berubah, pengeluaran getah telah menurun sebanyak 55 peratus daripada 768,000 tan pada 2013 kepada 347,000 tan tahun lalu.

“Kita mahu industri hiliran bekerjasama dengan industri huluan. Jadi apa sahaja yang dikeluarkan oleh industri huluan boleh dipakai tanpa menunggu kenaikan atau penurunan harga getah untuk ditoreh,” jelas beliau.

Setakat ini, kerajaan bersama LGM telah mengenal pasti kawasan ladang getah terbabit, tetapi berdepan dengan dua masalah utama.

“Satu, pekebun kecil tidak mahu menyerahkan tanah mereka, mereka tidak mahu sewa atau pajak. Mereka tidak mahu uruskan tetapi mahu menyimpan tanah mereka. Kita tidak boleh buat apa-apa sebab itu tanah mereka.

“Kedua, ada yang berminat tetapi kawasan mereka, belukar sudah naik dan lama tidak diusahakan. Itu melibatkan kos. Jadi kerajaan mahu tengok bagaimana kita boleh bantu LGM.

“Langkah pembersihan kita akan buat peringkat, kita belajar daripada pembersihan itu dan kita dapat formula yang baharu. Sebahagian daripada mereka bersetuju sebab dari terbiar menjadi hutan, baik diuruskan supaya dapat hasil,” katanya.

Ketika ini terdapat 192,000 pekebun kecil ladang getah yang aktif seluruh negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini