Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan lancar garis panduan AI, pastikan penggunaan selamat

Datuk Seri Fadillah Yusof di majlis pelancaran AIGE hari ini.

Oleh Afrina Romzi

PUTRAJAYA: Kerajaan melancarkan Garis Panduan Tadbir Urus Dan Etika Kecerdasan Buatan Negara (AIGE) untuk memastikan penggunaan teknologi AI yang selamat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata garis panduan ini bukan sahaja menyediakan kerangka kerja bagi pengguna, penggubal polisi dan penyedia teknologi AI tetapi juga untuk memastikan setiap langkah yang diambil adalah selaras dengan prinsip-prinsip etika yang tinggi.

“Garis panduan ini merangkumi aspek keselamatan, privasi, kebebasan, dan hak asasi manusia, yang perlu diutamakan dalam penggunaan teknologi ini,” katanya pada majlis pelancaran AIGE hari ini.

Tambah beliau, satu aspek penting yang diketengahkan dalam AIGE adalah kepentingan untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap peringkat pembangunan dan penggunaan AI.

“Ini sebagai bukti komitmen daripada kerajaan untuk membina kepercayaan masyarakat terhadap teknologi ini. Kita juga perlu memastikan bahawa setiap keputusan yang diambil oleh sistem AI adalah berasaskan data yang tepat dan bebas daripada sebarang bentuk bias yang boleh menjejaskan keadilan dan kesaksamaan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata walaupun AI mampu menjana peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan produktiviti, semua pihak perlu berwaspada terhadap kemungkinan ia menggantikan tenaga kerja manusia dalam sesetengah sektor.

“Oleh itu, perancangan yang rapi perlu dilakukan untuk memastikan bahawa tenaga kerja dilengkapi dengan kemahiran yang relevan bagi menghadapi cabaran ini, katanya.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata pihaknya bersama pemegang taruh, pembuat dasar, penyelidik, akademia, industri dan masyarakat, komited untuk menerajui inisiatif strategik dan pelan tindakan dalam Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 untuk memanfaatkan kuasa AI bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

“Namun, kecanggihan teknologi ini datang bersama risiko dan tanggungjawab besar bagi memastikannya digunakan dengan cara yang adil, bertanggungjawab, dan beretika,” katanya.

Untuk itu, objektif garis panduan AIGE ini menggariskan pelaksanaan tujuh prinsip AI yang bertanggungjawab iaitu kesaksamaan; kebolehpercayaan, keselamatan dan kawalan; kerahsiaan dan keselamatan; keterangkuman; ketelusan; akauntabiliti; dan mensasarkan kesejahteraan dan kemaslahatan manusia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini