Oleh Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji kerangka dasar gaji progresif untuk beralih kepada sistem yang mampan, sekaligus memberi manfaat kepada dua-dua majikan dan pekerja.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata hal ini sejajar dengan sasaran Rancangan Malaysia ke-12 supaya nisbah hasil ekonomi kepada pekerja dalam bentuk gaji dan pampasan, meningkat daripada paras semasa 36% kepada 40%.
“Kita mula dengan gaji minima, itu sudah berlaku tetapi ada cabarannya. Sekarang kita ke arah gaji progresif. Perkara ini perlu difikirkan dan dibincangkan secara menyeluruh, bukan sahaja dasar kerana perlu mengimbangi kehendak kerajaan dan ekonomi supaya gaji itu naik secara berkala dan juga dengan kemampuan syarikat-syarikat kita. Kalau tidak berhati-hati, juga akan ada kesan negatif kepada syarikat-syarkat,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian UK-Malaysia Clean Growth Handbook di sini, hari ini.
Jelas beliau, perkara ini tidak boleh dilaksana dengan kerajaan memberi arahan dan mewajibkan majikan untuk menaikkan gaji pekerja semata-mata.
Ini akan mengakibatkan syarikat gulung tikar atau terpaksa membuang pekerja untuk menampung kos yang tinggi.
Untuk itu, proses dasar gaji progresif ini akan melibatkan perbincangan pelbagai sektor bagi menjamin keberkesanaannya.
Dasar ini akan dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.