Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan galak pelaburan kilang oleokimia Sabah, Sarawak

Datuk Seri Johari ditemui media pada Sidang Kemuncak Malaysia-China hari ini.

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Kerajaan menggalakkan pelaburan dalam pembangunan kilang oleokimia di Sabah dan Sarawak bagi memanfaatkan potensi besar sebagai pengeluar utama minyak sawit.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata Sabah dan Sarawak memiliki keluasan ladang sawit 3.1 juta hektar dengan Sabah mempunyai 1.5 juta hektar dan Sarawak 1.6 juta hektar.

“Sabah dan Sarawak mempunyai kilang pemprosesan minyak sawit mentah, penapisan, dan pengeluaran kernel sawit, tetapi belum ada kilang oleokimia.

“Kebanyakan kilang oleokimia tertumpu di Semenanjung Malaysia. Oleh itu, saya ingin mendorong pelabur untuk mempertimbangkan Sabah dan Sarawak sebagai lokasi untuk membangunkan satu atau dua kilang oleokimia,” katanya apabila ditemui media pada Sidang Kemuncak Malaysia-China hari ini.

Beliau menekankan, dengan adanya kilang oleokimia di Sabah dan Sarawak, eksport minyak sawit mentah dari kedua-dua negeri itu dapat dikurangkan.

Minyak sawit boleh diproses menjadi produk nilai tambah di dalam negara, sekali gus meningkatkan hasil industri tempatan.

“Ini adalah peluang besar kerana bekalan bahan mentah mencukupi di kawasan tersebut. Selepas ucapan saya tadi, ada beberapa pelabur yang datang menunjukkan minat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai potensi ini,” ujarnya.

Johari turut menjelaskan bahawa kos logistik dapat dikurangkan sekiranya kilang oleokimia dibina di Sabah dan Sarawak.

Ketika ini, Malaysia mempunyai 21 kilang oleokimia yang terletak di Semenanjung Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini