comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan disaran gabung FELDA, FELCRA & RISDA bagi hasil sawit lestari

Oleh Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menggabung tiga entiti –FELDA, FELCRA dan RISDA bagi memperkasakan pekebun kecil ke arah sawit lestari.

Cadangan itu dilontarkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor, memandangkan kebanyakan pekebun kecil masih tidak mempunyai pensijilan meja bulat minyak sawit lestari (RSPO) yang menawarkan harga premium setinggi 10 peratus.

“Kos untuk kelestarian amat tinggi dan ini akan membebankan peneroka dan pekebun kecil. Sekiranya kerajaan Malaysia dapat menguruskan pekebun kecil dengan cara lebih jitu melalui konsep konsolidasi atau skala ekonomi lebih mampan buah sumber lestari akan dapat dihasilkan.” kata kepada TV3 dan Bernama.

Bercakap di Persidangan & Pameran Unjuran Harga Minyak Sawit & Laurik (POC2023) di sini, katanya, negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah sanggup membayar premium bagi sumer sawit yang lestari.

FGV adalah pembeli terbesar buah kelapa sawit dari peneroka dan pekebun kecil di Malaysia dan 70% atau 9 juta tan buah kelapa sawit yang diproses kilang-kilang FGV datang dari pekebun kecil.

Mengulas cadangan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan sedang berusaha untuk menggabungkan pekebun kecil mengikut zon.

“Itu anda kena tanya dia (CEO FGV ) itu cadangan dia. Namun bagi kerajaan, fokus kami adalah untuk menggabungkan semua pekebun kecil sawit ini kepada pengezonan agar lebih menjimatkan untuk kami membantu pekebun kecil ini. Ia agar mereka boleh meningkatkan pendapatan mereka lebih mampan apa lagi dari segi kebolehpindahan amalan baik dan sebagainya.” katanya apabila ditemui selepas melawat ruang pameran pada majlis yang sama.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan dan Komuditi berkata, kerajaan akan berbincang dengan pekebun kecil dan pemegang taruh mengenai rancangan pengezonan itu.

Loading...
Terkini