Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan bentang data gaji setiap 3 bulan – Rafizi Ramli

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika sidang media selepas melancarkan Panduan dan Aplikasi BelanjawanKu 2022/2023

Oleh: Juliana Pija Ismail

KWASA DAMANSARA: Kerajaan akan membentangkan data gaji negara secara suku tahun bermula Ogos depan berbanding secara tahunan sebelumnya.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan, tindakan tersebut dibuat sebagai langkah menumpukan pengurangan jurang gaji yang dialami semua industri di negara ini.

“Melaporkan statistik gaji secara suku tahunan pada pendapat saya adalah penting. Jika tidak, penggubalan dasar tidak selaras dengan perubahan gaji. Itulah sebabnya dari tahun ke tahun kita melihat jurang menjadi lebih besar.

“Kita ingin ingin membincangkannya tetapi perlu menunggu statistik tahunan untuk melaksana perubahan” katanya kepada media selepas melancarkan Panduan dan Aplikasi BelanjawanKu 2022/2023.

Beliau menegaskan statistik itu penting bagi membolehkan semua pihak memahami situasi semasa ekonomi, kerana polisi yang dihasilkan tanpa kefahaman akan menyukarkan perubahan dasar untuk dilakukan.

Cadangan berkenaan akan dibawa ke mesyuarat jemaah menteri minggu ini sebelum dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan mengumumkan statistik berkenaan secara tahunan yang disusun berdasarkan survei bagi mengukur gaji dan upah bulanan yang diterima pekerja sepenuh masa atau setaraf.

Loading...
Terkini