comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan akan umum Dasar Awan Negara, fokus empat bidang teras

Datuk Seri Anwar pada majlis pecah tanah Pusat Data dan Wilayah Awan Google di Malaysia, hari ini.

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan Dasar Awan Negara yang menekankan kepada empat bidang teras.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar ini menggariskan cabaran berkaitan teknologi yang perlu ditangani serta menyusun strategi bersesuaian dengan teknologi baharu.

“Pertama, Kerajaan MADANI akan meningkatkan inovasi dan kecekapan perkhidmatan awam.

“Dengan memanfaatkan teknologi awan, kami menyasarkan untuk memodenkan operasi kerajaan, memupuk penglibatan rakyat dan memperkemas penyampaian perkhidmatan awam,” katanya pada majlis pecah tanah Pusat Data dan Wilayah Awan Google di Malaysia, hari ini.

Kedua, kerajaan berusaha untuk menggalakkan daya saing dan pertumbuhan ekonomi, memacu pengembangan ekonomi dengan membolehkan perniagaan terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan syarikat permulaan.

Ia bertujuan memanfaatkan teknologi awan untuk inovasi, kecekapan operasi dan akses kepada pasaran global.

“Ketiga, kami komited untuk mengukuhkan kepercayaan pengguna dan keselamatan data.

“Kerajaan akan mewujudkan rangka kerja dan protokol keselamatan yang teguh untuk melindungi data sensitif dan infrastruktur kritikal dalam kedua-dua persekitaran awan awam dan swasta,” jelas beliau.

Keempat, kerajaan akan memperkasakan rakyat melalui keterangkuman digital.

Pendekatan ini akan berpaksikan rakyat dan inklusif, menggunakan teknologi awan untuk meningkatkan kebolehcapaian dan kecekapan perkhidmatan awam yang mengutamakan digital.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini