Oleh Suzila Idayu Yaacob
PUTRAJAYA: Struktur gaji yang rendah akan dibincangkan secara menyeluruh dalam beberapa bulan akan datang, memandangkan ia antara perkara yang sedang diteliti oleh kerajaan pada ketika ini.
Dalam usaha membantu rakyat, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan tidak boleh hanya menumpukan pada harga, malah perlu mengimbangi antara menguruskan harga serta gaji.
“Kerajaan telah memaklumkan bahawa gaji adalah satu bidang yang kami sedang teliti. Saya bersetuju dengan pandangan orang ramai dan ahli ekonomi. Itu juga pandangan saya,” kata Menteri Ekonomi pada sidang media penerbitan Indeks Harga pengguna (IHP) Januari 2023.
Jelas beliau, walaupun memahami keperluan pekerja untuk mendapatkan gaji lebih tinggi, pandangan majikan juga perlu diambil kira selain faktor inflasi.
“Ia adalah mengenai mengimbangi antara menguruskan harga serta gaji. Supaya kita boleh meningkatkan secara progresif. Ia pastinya akan dibincangkan kerajaan pada bulan-bulan akan datang tetapi … ia bukan sesuatu untuk diperkatakan secara santai.”
“Dasar itu perlulah berlaku sebaik yang mungkin kepada semua pemegang taruh dan sehingga saat itu, tidak perlulah saya bercakap mengenainya kepada umum. Apa yang umum perlu ketahui adalah untuk kali pertama di bawah pentadbiran ini, kerajaan memberi fokus dan akan menangani struktur gaji rendah di dalam ekonomi. Sebelum ini, ia tidak dilaksanakan,” katanya.
Sebelum ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengesa kerajaan untuk mengkaji struktur gaji rendah, dengan menuju kepada pendapatan RM2,700.
Menurut KWSP, struktur gaji rendah adalah salah satu punca ahli KWSP mempunyai simpanan yang tidak mencukupi.
Mengulas mengenai kadar inflasi, Rafizi berkata ia menunjukkan aliran penurunan meskipun ketika musim perayaan Tahun Baru Cina.
Berdasarkan pertumbuhan bulan ke bulan sewaktu sambutan Tahun Baharu Cina 2023, ia telah mencatatkan peningkatan 0.2 peratus, yang mana lebih rendah berbanding 2021 sebanyak 0.3 peratus dan 0.24 peratus pada 2022.
Ini menunjukkan pelbagai usaha kerajaan membuahkan hasil dalam menstabilkan harga meskipun masih berdepan cabaran luaran seperti gangguan rantaian bekalan global dan konflik geopolitik.
“Kementerian meneliti kenaikan harga barang sewaktu musim Tahun Baru Cina. Pertumbuhan bulan ke bulan pada 2023 ketika Tahun Baru Cina menunjukkan ke arah penurunan dengan kenaikan paling rendah bagi tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
“Hal ini amat menggalakkan kerana membuktikan bahawa usaha keseluruhan rakyat dan kerajaan dan disambut oleh peniaga-peniaga telah mula menampakkan hasil dengan meredakan kadar kenaikan harga walaupun masih bergelumang dengan masalah luar kawalan kita seperti rantaian bekalan global,” katanya.
Bagi menstabilkan harga makanan di paras lebih sesuai dengan pendapatan rakyat, kerajaan menggunakan pelbagai serampang untuk memastikan dasar mempengaruhi keseluruhan rantaian makanan daripada penghasilan bahan mentah sehingga ke harga dibeli pengguna.