Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan akan bantu pekebun kecil sawit patuh EUDR – Johari Ghani

Datuk Seri Johari Abdul Ghani

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membantu pekebun kecil kelapa sawit memenuhi keperluan yang ditetapkan dalam Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata EUDR yang telah dilanjutkan hingga akhir 2025 dapat membantu memastikan pekebun kecil mematuhi piawaian global.

“Syarikat besar menguruskan 73 peratus ladang sawit telah bersedia untuk mematuhi EUDR. Kami hanya memerlukan masa sedikit untuk membantu pekebun kecil mematuhi EUDR mengikut tempoh yang telah ditetapkan.

“Kerajaan akan membantu pekebun kecil mematuhi empat aspek iaitu bebas penebangan hutan, kebolehkesanan, hak milik tanah yang sah dan amalan buruh yang baik,” katanya pada sidang media Forum Minyak Sawit Malaysia Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah beliau, pengeluaran minyak sawit mencecah 12.6 juta tan dalam lapan bulan pertama tahun ini, meningkat 10.2 peratus berbanding tahun lalu.

Pertumbuhan ketara ini disokong dasar kerajaan untuk menyelesaikan isu utama, termasuk isu kekurangan buruh yang telah memberi kesan ketara kepada industri beberapa tahun kebelakangan ini.

Untuk itu, jika momentum positif ini dapat diteruskan, pengeluaran minyak sawit Malaysia mampu mencecah lebih 19 juta tan tahun ini, tertinggi sejak 2020.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini