comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Keputusan permohonan geran utama industri digital Julai ini

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

PUTRAJAYA: Keputusan permohonan bagi geran-geran utama industri digital yang dikeluarkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dijangka diumumkan Julai ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata Geran Kandungan Digital (DCG), Geran Malaysia Digital X-Port (MDXG) dan Geran Pemangkin Malaysia Digital (MDCG) menerima sambutan yang menggalakkan sejak permohanannya dibuka bermula 2 Mei lepas.

Ia dibuktikan dengan penyertaan hampir 1,000 penggiat industri digital ke sesi taklimat secara maya pada 9 Mei lepas dengan lebih 300 soalan dan maklumat mengenai kriteria kelayakan permohonan geran telah dikemukakan, katanya.

Fahmi berkata permohonan yang terpilih perlu menghadiri sesi pembentangan Jun ini dan keputusan permohonan dijangka diumumkan pada Julai tertakluk kepada jumlah permohonan yang diterima.

“Saya menggesa lebih ramai penggiat industri kreatif tempatan mengambil peluang memohon geran-geran yang disediakan bagi memanfaatkan peluang untuk kekal utuh berdaya saing dalam pasaran tempatan sekali gus menembusi pasaran global,” katanya.

Tarikh tutup permohonan geran adalah pada 1 Jun ini dan maklumat lanjut boleh didapati di www.mdec.my/grants.

Menurut kenyataan itu DCG 2023 memfokuskan kepada pembangunan industri kreatif digital dan menyediakan empat cabang geran lain iaitu geran projek mini; geran pembangunan; geran produksi; serta geran pemasaran dan pengkomersialan.

Keempat-empat geran itu bernilai antara RM150,000 dan RM2 juta adalah untuk syarikat, perusahaan, syarikat milikan tunggal atau perkongsian liabiliti terhad (LLP) yang melibatkan empat bidang kandungan digital iaitu animasi, permainan digital, komik digital dan teknologi kreatif.

Loading...
Terkini