Oleh: Suzila Idayu Yaacob
KUALA LUMPUR: Sektor peruncitan negara dijangka berdepan cabaran tekanan kos susulan jangkaan kenaikan tarif elektrik dan pelaksanaan gaji minimum pada suku ketiga tahun ini.
Pemain industri melahirkan kebimbangan peningkatan kos itu akan turut memberi kesan kepada kuasa beli pengguna.
Presiden Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), Datuk Andrew Lim Tatt Keong berkata, kenaikan kos yang didepani pelbagai pihak akan menyebabkan tekanan kewangan dipindahkan kepada pengguna dengan menaikkan harga barangan, seterusnya memberi kesan langsung kepada sektor terbabit.
“Ketika ini, peningkatan kos yang sedang dihadapi oleh semua pihak di Malaysia merupakan kebimbangan besar terutamanya sektor peruncitan.
“Kenaikan kos ini akan dipindahkan kepada pengguna, yang akhirnya akan memberi kesan negatif kepada sentimen pengguna dan permintaan terhadap perbelanjaan pengguna,” katanya selepas majlis jalinan kerjasama tanggungjawab sosial korporat MRA bersama Pertubuhan Rahmah Madani (PRM).
Menurut beliau, pemain industri menyambut baik langkah reformasi yang dilaksanakan kerajaan.
Bagaimanapun, syarikat perlu menyusun semula kedudukan kewangan untuk kekal bertahan.
Dalam pada itu, perbelanjaan pengguna dijangka kukuh awal tahun ini, sekali gus mampu menyokong pertumbuhan sektor peruncitan.
Pertumbuhan itu dipacu perbelanjaan musim perayaan yang akan meningkatkan sentimen sektor terbabit.
Dalam pada itu, pemain industri turut mencadangkan lebih banyak potongan cukai di sektor pelancongan, hospitaliti selain makanan dan minuman bagi merancakkan perbelanjaan pengguna.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.