Oleh: Afrina Romzi
BANGI: Kerajaan telah memutuskan kemasukan pekerja asing kini terhad untuk sektor perladangan buat masa ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata setakat Disember 2023, sekitar 40,000 pekerja diperlukan dalam sektor berkenaan.
“Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia bersetuju pekerja asing selain sektor perladangan tidak dibenarkan masuk lagi tetapi untuk industri perladangan ia terbuka dan diberi peluang,” katanya pada sidang media sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Tahun 2023 hari ini.
Menurut Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), industri minyak sawit Malaysia dijangka menjana pendapatan RM4 bilion jika separuh daripada 40,000 pekerja asing yang diperlukan dapat menjalankan aktiviti penuaian hasil perladangan.
MPOA juga berkata pengumuman kemasukan pekerja asing keputusan itu melegakan industri kelapa sawit, yang telah bergelut dengan kekurangan pekerja yang ketara.
Dalam pada itu, Datuk Seri Johari tidak melihat masalah kekurangan asing amat kritikal bagi industri perladangan, namun pekerja yang mencukupi amat diperlukan untuk meningkatkan produktiviti dan hasil.
“Kalau tidak cukup pekerja, macam mana boleh tuai hasilnya. Seperti ketika pandemik COVID-19, (industri) tidak cukup pekerja untuk menuai, menyebabkan pengeluaran jatuh. Selain dari pekerja, kita mahu pengurusan ladang yang cekap, kemudian kita mahu terus ada kita punya penyelidikan dan pembangunan untuk melaksana mekanisasi dan automasi,” jelas beliau.
Selain itu, peraturan lebih ketat akan dikenakan untuk mengelak negara dituduh mengamalkan buruh paksa dan terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia. Ini termasuk menyediakan penginapan kondusif dan memberikan kebajikan sewajarnya, serta membayar gaji kepada pekerja asing yang telah dibawa masuk ke Malaysia, walaupun tidak berikan sebarang tugas.
Dalam majlis yang sama, Datuk Seri Johari turut menyaksikan penyerahan dana khusus untuk Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit berjumlah RM100 juta daripada MPOB kepada Agrobank.
Dana yang disediakan menerusi Belanjawan 2024 terdiri daripada geran sebanyak 50 peratus dan pembiayaan 50 peratus kepada pekebun kecil persendirian.
Penyaluran dana bagi kedua-dua geran dan pembiayaan akan disalurkan sepenuhnya oleh Agrobank dan bayaran balik oleh pemohon hanya melibatkan 50 peratus (termasuk dua peratus faedah) daripada keseluruhan jumlah dana disalurkan.
Nilai pembiayaan adalah sebanyak RM14,000/hektar untuk pekebun kecil di Semenanjung Malaysia manakala RM18,000/hektar kepada pekebun kecil di Sabah dan Sarawak dan permohonan telah dibuka bermula 15 Januari lalu.