Tumpuan :
Detik Niaga

Kelulusan projek perumahan harus disegerakan: PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Pemeteraian Perjanjian Pembangunan Bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani di St Regis, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO NSTP

Oleh: Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Kelulusan projek perumahan dalam negara harus disegerakan sekurang-kurangnya dalam 40 hari bagi mencerminkan jentera kerajaan yang efisien.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak ada sebab untuk menangguhkan projek tersebut apabila dokumentasi dan penyerahan yang sewajarnya telah dibuat.

Anwar turut mengimbas kembali sewaktu beliau melancarkan projek perumahan ketika menyandang Menteri Kewangan pada era 1990-an.

“Bila saya bincang dengan pemaju, saya tekankan kurangkan kos, dia kata kurangkan kos macam mana kos pegangan tinggi sebab kelulusan projek dalam lapan bulan, setahun dia ada kos pegangan. Saya kata ok. Kalau saya kurangkan masa ke tiga bulan, pemaju kata boleh kurangkan kos sebanyak RM5,000 atau RM10,000. Sebab kos itu dah lebih terkawal, kita boleh percepatkan secepat mungkin.

“Di Kuala Lumpur pernah kita lakukan kelulusan rumah Madani di Taman Desa dalam tempoh 45 hari. Saya tidak akan terkejut kerana saya tahu tahap kecekapan Ketua Menteri dan kerajaan Negeri, kalau Kuala Lumpur boleh mencatat 45 hari, tak ada sebab mengapa Pulau Pinang tak boleh catat 40 hari,” katanya dalam ucapan di Majlis Pemeteraian Perjanjian Pembangunan Bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani.

Tambahnya, langkah ini bagi memberi makna kepada majoriti rakyat apabila terdapat tindakan mendesak untuk memperpercepatkan pembinaan perumahan mampu milik.

“Kerajaan dan sektor swasta perlu menunjukkan sikap prihatin yang kita boleh melaksanakannya secara efisien dan tidak ada sebab untuk melengahkan (proses kelulusan projek perumahan) namun isu tadbir urus itu penting. Bersih, cepat dan tiada unsur rasuah dan saya yakin kita boleh lakukan demikian.

“Jadi, ini memerlukan keseluruhan agensi kerajaan. Saya akan membawa perkara ini dengan saudara Nga Kor Ming hari Jumaat ini di Jemaah Menteri dan beritahu semua Menteri yang terlibat dalam jabatan-jabatan berkaitan mendapat juga pandangan yang sama, kerana ini bukan sahaja kerajaan negeri, banyak hal-hal yang melibatkan kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini