comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kekuatan ringgit petanda ekonomi kukuh – MOF & BNM

Oleh: Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Pengukuhan mata wang negara dilihat sebagai petanda jelas ekonomi negara mampu terus berkembang.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pengukuhan ringgit bukan sahaja berbanding dengan dolar Amerika malah dengan semua mata wang serantau.

“Jadi pertukaran ke ringgit makin meningkat. Ini mengukuhkan ringgit. Kita rasa usaha yang kita buat bersama kementerian kewangan dengan Bank Negara Malaysia telah banyak mendorong perubahan sentimen yang ada tetapi ini bukan usaha dua institusi ini sahaja, semua (agensi) kerajaan bekerjasama untuk mendorong penukaran (ke mata wang ringgit) ini. Alhamdullilah kita dalam landasan yang baik.” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Tv3 pagi tadi.

Turut bersama dalam wawancara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Bagi Gabenor Bank Negara, selain sentimen pelabur terhadap pelaburan di Malaysia kini diperbaiki, peningkatan nilai ringgit masa ini juga sebahagian besar didorong oleh perubahan dasar monetari di negara-negara maju terutamanya di Amerika Syarikat.

“Sebab kita lihat baru-baru ini Rizab Persekutuan Amerika Syarikat telah menurunkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas dan ada kemungkinan akan ada lagi penurunan pada masa hadapan.” kata Datuk Seri Abdul Rasheed.

Jelasnya lagi, ekonomi Malaysia juga mempunyai prospek yang baik dari segi peningkatan eksport dan pelaburan yang meningkat 18% ke RM160bilion bagi separuh pertama tahun ini.

“Kita juga dapat lihat dari segi peningkatan perbelanjaan pelancong . Faktor faktor ini semua mendorong kepada pengukuhan nilai mata wang ringgit . Jadi kita melihat perkembangan yang positif dari segi prospek ekonomi pada masa hadapan , ini juga akan terus mendorong pengukuhan atau memberi sokongan kepada peningkatan nilai ringgit pada masa hadapan.” tambahnya lagi.

Apabila ditanya mengenai nilai ringgit yang wajar, Menteri Kewangan Kedua pula berkata nilai ringgit akan mencari ambang yang sepatutnya selagi ekonomi Malaysia makin mengukuh.

“Selagi, kita dapat banyak lagi FDI (pelaburan langsung asing) yang masuk dan DDI (pelaburan langsung domestik) banyak dibuat dalam negara, Insyallah ringgit akan mencapai nilai yang sepatutnya dicapai. Itu lah dasarnya.” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini