Tumpuan :
Detik Niaga

Kejatuhan ringgit: Baca laporan kewangan bukan laporan PAS – PM

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas dakwaan Ahli Parlimen Bachok dari PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman yang menyatakan bahawa kejatuhan ringgit disebabkan Malaysia tidak memiliki Menteri Kewangan sepenuh masa.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, kejatuhan ringgit disebabkan pelbagai faktor antaranya kekangan antarabangsa.

“Suruh orang yang cadang itu baca laporan ekonomi dan kewangan bukannya laporan PAS,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Madani Dalur, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai kenyataan balas kepada Mohd Syahir yang menyatakan bahawa kejatuhan ringgit disebabkan Malaysia tidak memiliki Menteri Kewangan sepenuh masa.

Syahir dilaporkan berkata, dalam tempoh enam bulan ini, ringgit menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang lain sehingga mencecah paras RM4.60 berbanding satu dolar AS, dan dijangka boleh mencecah paras RM5 jika tidak dikawal.

Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengaitkan punca penyusutan ringgit berbanding dolar AS disebabkan ketidaktentuan ekonomi global, seperti isu siling hutang di AS dan tekanan pada kedua-dua sektor perbankan AS dan Eropah.

Bank pusat itu mengingatkan bahawa prestasi ringgit berbanding dolar AS atau mana-mana mata wang tidak menunjukkan prestasi ekonomi Malaysia, yang dijangka berkembang empat hingga lima peratus tahun ini.

Loading...
Terkini